Kerajaan terus komited dalam memperkasa agenda bumiputera yang merupakan agenda nasional menerusi cadangan peruntukan hampir RM5 bilion di dalam Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini.

Antaranya, sebanyak RM150 juta disalurkan kepada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) untuk pelaksanaan pelbagai program termasuk Skim Usahawan Permulaan Bumiputera dan Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi.

Selain itu, sejumlah RM150 juta akan diperuntukkan kepada Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, katanya.

Beliau berkata bagi Majlis Amanah Rakyat (MARA), sebanyak RM3.7 bilion diperuntukkan, termasuk menaja pengajian 72,000 penuntut bumiputera di peringkat pengajian tinggi.

KLIK DI SINI UNTUK LAPORAN PENUH BAJET 2016

Menurut Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata peruntukan keseluruhan itu juga bagi tujuan memantapkan pemilikan ekuiti serta memperhebatkan keusahawanan dan perniagaan Bumiputera.

"(Ia termasuk) peruntukan RM400 juta kepada Dana Ekuiti Nasional Bhd (EKUINAS), RM250 juta kepada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd, (dan) RM150 juta kepada Pelaburan Hartanah Bhd.

"RM100 juta (akan diperuntukkan) sebagai pinjaman kepada UDA Holdings untuk tujuan pembangunan Kampung Baru Kuala Lumpur," katanya.