BEIJING: Datuk Norman Muhamad, Duta Besar Malaysia ke Republik Rakyat China telah diberi penghormatan oleh Beijing Foreign Studies University (BFSU) untuk menyampaikan ucapan sempena Majlis Konvokesyen universiti tersebut, hari ini.

Uniknya, ucapan Norman itu adalah yang julung kali disampaikan dalam bahasa Melayu dan disaksikan hampir 3,000 graduan pelbagai bidang yang menamatkan pengajian masing-masing di BFSU.

BFSU telah mengasaskan program Pengajian Bahasa Melayu di China sejak tahun 1961, dan penempatan Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China telah bermula sejak tahun 2007.

Sehubungan itu, Kerajaan Malaysia telah mengiktiraf BFSU sebagai Pangkalan Pengembangan Bahasa Melayu di Republik Rakyat China pada tahun 2014.



Norman dalam ucapan beliau, memaklumkan sebanyak 17 Institusi Pengajian Tinggi di seluruh China sedang menawarkan pembelajaran bahasa Melayu sehingga hari ini.

Beliau turut berterima kasih kepada negara China atas keyakinan terhadap sistem pendidikan Malaysia dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi menyambung pengajian.

“Semua ini pastinya sukar dilaksanakan tanpa BFSU, selaku pengasas yang sentiasa memberikan sokongan berterusan kepada rakan-rakan universiti yang lain.

"Mengenang jasa BFSU yang telah tersemai sekian lama, maka ia mendorong kehadiran saya untuk berada di sini bagi menzahirkan ucapan terima kasih Kerajaan Malaysia kepada BFSU,” ujar beliau.

Norman turut menggalakkan agar program pertukaran pelajar menerusi program “edutourism” atau pelancongan pendidikan dipergiatkan sebagai satu inisiatif yang baik, menyokong usaha kedua negara dalam menggalakkan pertukaran belia.

Beliau antara lain menekankan bahawa bahasa dan budaya bukan sahaja perlu dipelajari secara teori, tetapi perlu didalami dan dihayati menerusi pengalaman.

Norman turut menjelaskan bahawa dunia ketika ini berdepan dengan pelbagai cabaran dan isu global, maka pegangan prinsip “Excellence with a Soul” amat penting dalam membina daya tahan negara dan serantau, serta pembentukan dasar yang mampan.



Mahasiswa bukan hanya bersandar pada kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya perlu diimbangi dengan aspek sahsiah dan semangat untuk bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan serta berkongsi kepakaran demi menjadikan dunia lebih baik, selari dengan konsep “Community of the Shared Future” yang digagaskan oleh Presiden Xi Jinping.

Seramai 35 orang mahasiswa Malaysia bergraduasi di BFSU tahun ini, manakala seramai 22 mahasiswa China yang berjaya menamatkan pengajian dalam program Pengajian Melayu.

Turut serta bersama-sama beliau di dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Perwakilan Beijing Norfarina Mohd Azmee, dan Pengarah Pejabat Education Malaysia Beijing Muhammad Sallehuddin Mohd Dilif.


PEJABAT EDUCATION MALAYSIA BEIJING
28 JUN 2024