Seorang setiausaha akhbar kepada menteri kabinet meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan 3 kenderaan di Kilometer 232 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Rembau 9 pagi tadi.

Sivam Balan, 35 maut selepas terlibat dengan nahas berkenaan ketika menuju ke Alor Gajah, Melaka untuk bertemu dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

Selain Sivam, seorang lagi kakitangan kementerian yang memandu kenderaan Nissan Xtrail yang dinaiki mereka turut meninggal dunia.

Kedua-dua mangsa nahas itu dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Subramaniam ketika dihubungi berkata, ketika kejadian Sivam sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk menghadiri satu majlis di Alor Gajah.

"Saya sepatutnya berjumpa dengan Sivam di majlis itu. Saya datang dari Segamat tapi dia dari Kuala Lumpur dengan staff lain. Saya tahu dia terlibat dalam kemalangan apabila staff kementerian telefon saya." kata Subramaniam ketika dihubungi.

"Bila saya dapat tahu berita (kemalangan) itu, saya terus bergegas ke Hospital Tampin (tempat dimana mayat mereka dibawa)."

Subramaniam berkata beliau tidak tahu bagaimana nahas itu boleh berlaku dan masih menunggu laporan siasatan daripada pihak polis.