Berkongsi kenangan bersama Allahyarham, Zaiful, 53, berkata bapanya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang disifatkan seorang yang sangat mementingkan pendidikan.
Katanya, ketegasan bapanya antaranya digambarkan apabila Allahyarham akan menyemak buku sekolah anak-anaknya.
“Bapa saya ini beliau sangat pentingkan pendidikan… macam mana pun beliau mahu anak-anak belajar sehingga tahap tertinggi, dan sangat tegas dalam hal itu.
“Kalau zaman sekolah, buku kami pun beliau semak. Beliau nak kami belajar sampai dapat ijazah.
“Paling penting baginya adalah pendidikan, kalau ada pendidikan insya-Allah selamat,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas pengebumian Allahyarham Ibrahim di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini pada Sabtu.
Berkongsi lanjut, Zaiful berkata di hujung hayat bapanya, beliau sempat berkomunikasi dan berjanji untuk menjaga keluarga dengan baik.
“Saat-saat akhir saya hanya dapat cakap kepada beliau, kami akan jaga ibu… anak-anak semua okay kerana bapa telah mendidik kami dengan baik. Kami reda dengan pemergian bapa,” tambah Zaiful.
Menceritakan keadaan bapanya pula, Zaiful berkata Allahyarham mengalami serangan jantung tiga minggu lepas sebelum menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua minggu.
Bapanya kemudian dibenarkan keluar dari hospital pada tiga hari lalu, ujar beliau.
“Dalam masa tiga hari itu, dua hari pertama semua okay. Cuma semalam ada rasa tidak selesa dan bila bawa ke hospital, doktor mengatakan asid dalam darahnya sudah tinggi,” jelasnya.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi pernafasan pada pukul 6.30 petang Jumaat di sebuah hospital swasta di ibu negara.
Jenazah Allahyarham Ibrahim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, sekitar jam 11.20 pagi.
Perjalanan terakhir Allahyarham ke negeri abadi berlangsung dalam keadaan cuaca baik dengan dihadiri lebih 200 orang termasuk ahli keluarga, sahabat handai dan pemimpin politik.
Allahyarham Ibrahim berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dari 1990 hingga 1995, ketika pentadbiran Tan Sri Koh Tsu Koon.
Sepanjang kerjayanya, Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Ketua UMNO Bukit Mertajam, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Timbalan Menteri Pengangkutan, dan Duta Malaysia ke Filipina.
Selain itu, Allahyarham memainkan peranan penting dalam membantu orang Melayu di Pulau Pinang untuk maju ketika beliau menjadi Timbalan Ketua Menteri pada awal 90-an.