Kesemua 19 pelajar tersebut merupakan penuntut tahun kedua Communication University of China di Beijing. Ada di antara penuntut tersebut yang agak fasih bertutur dalam bahasa Malaysia kerana mengambil subjek Bahasa Melayu di universiti.
Kunjungan empat hari kumpulan pelajar itu ke Kuala Lumpur bertujuan untuk membaik pulih penguasaan Bahasa Melayu.
Sempena kunjungan julung kali mereka ke Malaysia, pelajar-pelajar tersebut diberi nama jolokan Melayu termasuk 'Zawiyah', 'Yusuf' dan 'Juma'.
Pelajar-pelajar Communication University of China ketika melawat studio Astro AWANI. - Sumber Foto Astro AWANI
Pihak universiti juga mengalakkan mereka untuk menetap di Malaysia selama beberapa bulan untuk mendedahkan mereka kepada budaya Malaysia dan diberi peluang untuk berkomunikasi dalam Bahasa Melayu.
Di Astro AWANI, mereka diberi taklimat oleh Pengarang Eksekutif Astro Awani, Abdul Razak Abu Chik dan berpeluang bermesra dengan warga kerja Awani.
Pelajar-pelajar tersebut sempat menyumbangkan sebuah lagu rakyat berjudul, 'Dayung Sampan' dalam versi Bahasa Malaysia dan mendapat tepukan gemuruh dari warga Awani yang turut menyaksikan persembahan spontan itu.