Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail memaklumkan pihaknya memasang impian untuk melihat jumlah usahawan tempatan meningkat ke sembilan hingga 10 juta berbanding angka sekarang sekitar 1.5 juta di negara ini.
“Selaku saluran berita dan hal ehwal semasa dan masa depan, kami punya impian supaya dapat meningkatkan lagi penyertaan lebih ramai lagi warga kita untuk jadi usahawan.
“Itulah asas kenapa kita wujudkan Jiwa SME selain daripada menyediakan platform di Malaysia ini, kita dapat bersama meraikan perniagaan dan sektor keusahawanan, itu harapan kita.
“Kita punya aspirasi kenapa kita sentiasa menekankan keperluan dan sebab utama kita berniaga,” katanya ketika berucap di Siri Jelajah Jiwa SME hari pertama di AEON Mall, Kota Bharu pada Jumaat.
Tambahnya, Astro AWANI akan meningkatkan lagi usaha untuk merancakkan SME tempatan yang ingin menembusi pasaran antarabangsa tidak lama lagi.
Ashwad juga berharap segala perkongsian oleh pemain industri keusahawanan yang hadir dapat memberi banyak manfaat kepada pengunjung yang hadir.
Orang ramai dijemput hadir ke siri jelajah jiwa SME ketiga yang berlangsung selama dua hari bermula 15 hingga 16 September 2023 bertempat di AEON Mall Kota Bharu.
Siri jelajah SME merupakan satu acara menggabung sesi perkongsian daripada pakar industri, usahawan PMKS, bengkel ilmu dan pameran produk tempatan menerusi reruai menawarkan perkhidmatan kepada usahawan dan pengunjung.