Timbalan Ketua Pengarang Astro AWANI Kamarul Bahrin Haron semalam hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Brickfields berkenaan siasatan ke atas penganjuran 'Forum Awam: Malaysia dan Statut Rom' di Universiti Malaya bulan lalu.

Keterangan yang diambil selama hampir dua jam oleh pegawai penyiasat, Inspektor Veeramuthu Timrayan itu bejalan lancar.

Minggu lalu, polis berkunjung ke bilik berita Astro AWANI susulan laporan polis yang dibuat beberapa pihak terhadap penganjuran forum tersebut yang didakwa mempunyai elemen hasutan.

Ketika itu, pihak polis meminta salinan video forum berkenaan.


'Forum Awam: Malaysia dan Statut Rom' anjuran organisasi masyarakat awam termasuk Pertubuhan IKRAM Malaysia, Sisters in Islam, kumpulan veteran Persatuan Patriot Kebangsaan dan kumpulan bekas penjawat awam G25, turut disiarkan secara langsung melalui dalam talian oleh Astro AWANI pada 27 April lalu.

Bagaimanapun, Astro AWANI hanya menyiarkan sesi pembentangan acara berkenaan.

BACA: Forum Statut Rom kecoh, panelis dituduh tidak profesional

Kamarul berperanan sebagai moderator sesi pembentangan itu pada forum yang berlangsung Auditorium Tun Mohamed Suffian di bangunan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya sementara sesi soal jawab forum dikendalikan oleh peguam Gurdial Singh Nijhar.

Perbincangan intelektual itu dihadiri beberapa pakar dan aktivis undang-undang dan perlembagaan termasuk Peguam Negara Tommy Thomas, Prof Datuk Shad Saleem Faruqi dan bekas duta Malaysia ke Belanda Datuk Noor Farida, peguam Lim Wei Jiet dan aktivis pelajar, Asheeq Ali Sethi Alivi.

Media sebelum ini melaporkan beberapa NGO seperti Pertubuhan Sahabat Erat dan Amanat Rakyat (SEDAR Malaysia) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membuat laporan polis terhadap Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Syed Husin Ali berikutan ucapannya pada sesi pembentangan berkenaan.