PUTRAJAYA: Berinspirasikan semangat Keluarga Malaysia, tujuh pendaki Malaysia termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) tekad menawan Gunung Everest pada tahun hadapan setelah hasrat berkenaan tertangguh dua tahun akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Diketuai Azim Afif Ishak, 32, pendaki-pendaki daripada pelbagai latar belakang itu bergabung sebagai pasukan Keluarga Malaysia Everest 2022 (KAME 2022) bagi misi menakluk gunung tertinggi di dunia itu pada April 2022 dan membuktikan kekuatan perpaduan adalah kunci kejayaan.

Pendaki lain dalam KAME 2022 ialah Muhammad Hawari Hashim, 31, yang merupakan OKU pekak dan bisu; Ahmad Murshid Maktar, 34, Alvin Chong Yee Lim, 48, Chandra Kanthen Jumbulingam, 42, Ayu Wanirah Naharuddin, 29, dan Rina Jordana Adnan, 41.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan perjuangan KAME 2022 itu sebagai pembakar semangat kepada rakyat Malaysia yang terkesan ekoran pandemik COVID-19 supaya bangkit lebih kuat walaupun mendepani apa jua halangan.

"Usaha sebegini penting untuk menaikkan semangat anak-anak Malaysia untuk bangkit kembali dan terus berlari untuk mencapai kejayaan," katanya kepada Bernama setelah menerima kunjungan hormat pasukan KAME 2022 baru-baru ini.

Ahmad Faizal berharap rakyat Malaysia memberi sokongan padu kepada pasukan itu serta menyifatkan misi KAME 2022 amat bermakna kerana ia menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa dan latar belakang dengan satu hasrat iaitu perpaduan untuk mengharumkan nama negara.

"Sudah tentu apa jua halangan, kesusahan dan kesakitan itu pasti akan dapat diharungi secara bersama dan akhirnya misi untuk menakluk Gunung Everest dapat dicapai," katanya.

Muhammad Hawari bakal menjadi OKU pertama negara ini menawan puncak tertinggi dunia jika berjaya dalam pendakian ke Gunung Everest itu kelak.

-- BERNAMA