LANGKAWI: Malaysia menggesa platform ASEAN diguna pakai secara efektif oleh semua negara anggotanya dalam melaksanakan langkah bermakna untuk membendung krisis iklim.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana Asia Tenggara merupakan antara rantau yang paling terdedah dengan ketidaktentuan cuaca yang dibawa oleh perubahan iklim yang semakin memburuk.

“Kita menjangkakan masa hadapan di mana bencana alam dan krisis kesihatan berlaku dengan lebih kerap akibat perubahan iklim.

“Kita mesti memastikan Asia Tenggara bersedia menghadapi krisis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) 2025, di sini hari ini.

Katanya, memandangkan krisis iklim merupakan fenomena rentas sempadan, kebersamaan kesemua 10 negara ASEAN dalam menggembeleng tenaga dan menyeragamkan kerjasama serta dasar domestik mereka amat penting untuk memastikan krisis tersebut tidak menjadi lebih serius.

“Sebagai salah satu rantau yang paling terdedah, ASEAN mesti terus menangani isu ini bersama-sama.
“Suara kolektif kita dalam rundingan global, seperti Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), amat penting untuk memastikan keperluan kita didengar oleh dunia,” katanya.

ASEAN mengambil bahagian secara aktif dalam UNFCCC sejak penubuhannya pada 2012, termasuk inisiatif-inisiatif yang lahir daripada rangka kerja itu seperti Persidangan Perubahan Iklim (COP) dan Perjanjian Paris.

Kerjasama antara negara anggota ASEAN bagi mendepani isu alam sekitar juga bukan satu perkara yang baharu.

Antara lain, blok itu merangka Inisiatif Perubahan Iklim ASEAN (ACCI) pada 2009, Perjanjian Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada 2002, dan Rancangan Tindakan dan Kerjasama Tenaga Asia Tenggara (APAEC) pada 1999.