Harga rumah mampu milik seharusnya lebih rendah daripada harga yang sedia ada. Ini pendapat pembaca AstroAwani.com tentang kos rumah di Malaysia pada masa ini.

Seorang pengguna media sosial, Nabilah Juhari berpendapat harga rumah kos rendah sepatutnya bermula dengan harga RM50,000.

“Buat kecil-kecil tetapi banyak. Semua orang boleh beli. Rumah ini asas. Hakikatnya banyak pemaju yang kejar untung sahaja,” katanya.

Menurut Pit Ghodan harga rumah mampu milik sepatutnya terletak di median harga antara RM100,000 dan RM150,000.

“Jika seorang pekerja kerajaan kelulusan ijazah, itu sahaja rumah mampu milik. Sekarang projek perumahan semua bermula dari RM250,000 ke atas.

"Cuba tengok rumah di kawasan Kajang dan Bangi. Rumah teres berharga RM300,000 hingga RM500,000. Kalau di tengah bandaraya, tidak perlu tanya, ia berharga jutaan ringgit,” katanya.

Mohd Razali Hamzah turut bersetuju bahawa rumah berharga bawah dari RM100,000 tidak banyak.

“Mana mampu beli rumah kalau sudah sampai RM100,00 ke atas. Itu rumah paling murah dalam Malaysia. Kalau rumah bawah RM100,000 ada tetapi tidak banyak rakyat Malaysia mampu milik rumah,” kata Mohd Razali dalam satu catatan Facebook.

Seorang pembaca membuat perbandingan tentang harga rumah dalam tempoh 10 tahun, dimana beliau menyifatkat masih tidak berkemampuan untuk memiliki sebuah rumah walaupun gaji dua kali berlipat ganda.

“Sepuluh tahun dulu masa gaji RM3,000 – RM5,000 tidak mampu hendak beli rumah berharga RM150,000 – RM200,000 sekarang harga rumah RM600,000 lebih (dan lebih kecil) dan kalau gaji dua kali ganda, masih tidak mampu untuk milik,” kata Jauharatud Dinie AR.

Selain harga rumah yang tinggi di tengah-tengah bandar, Wawa Shauqi turut meluahkan kerisauan kerana ia banyak dimiliki oleh warga asing.

“Adakah adil melihat warga asing hidup mewah di tengah-tengah bandar (milik kita) sedangkan kita menjadi golongan yang membina kehidupan mewah untuk mereka?

“Generasi baru seperti saya hanya mampu beli rumah di kawasan-kawasan pendalaman jauh dari bandar. Akibatnya kos untuk ke tempat kerja jadi lebih mahal,” kata Wawa Shauqi.

Sementara itu, sentimen yang sama turut dikongsi di Twitter menerusi hashtag #TakMampu.









Satu kajian Khazanah Research Institute (KRI) mendedahkan harga rumah di Malaysia yang terlalu tinggi menyebabkan sehingga ia tidak mampu dimiliki rakyat.

Ia dikira berdasarkan median harga rumah pada 4.4 kali berbanding median pendapatan tahunan isi rumah tahunan, lebih tinggi berbanding median antarabangsa bagi rumah mampu milik pada tiga kali pendapatan isi rumah tahunan.

Pengarah Urusannya Datuk Charon Mokhzani berkata polisi perumahan yang tertumpu kepada aspek permintaan perlu diubah kepada menyelesaikan aspek bekalan yang tidak efisyen. 

Dalam perkembangan lain, membangunkan semula flat lama milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merupakan antara langkah dalam menyediakan 50,000 rumah mampu milik di ibu negara, yang menjadi iltizam Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz.

"DBKL telah meluluskan lebih kurang 25,000 rumah mampu milik dalam mencapai sasaran tersebut dan projek-projek ini sedang berjalan dengan lancar di seluruh ibu negara," katanya kepada Bernama dalam satu temubual baru-baru ini.