Luluh hati apabila doktor memberitahu bapa bayi pesakit hati atau 'billiary atresia', Mohd Zamani Mohd Azizan yang anaknya, Muhammad A’ Ariz Daniel hanya tinggal dua atau tiga tahun lagi untuk hidup.

Bagaimana tidak, keadaan A'Ariz pada ketika ini yang semakin membusung selain seluruh badan berwarna kekuningan akibat penyakit berkenaan disifatkan semakin kronik dari hari ke hari jika tidak mendapat rawatan segera.

Mohd Zamani memberitahu, dia dan isterinya tidak pernah putus asa walaupun menyedari hakikat perit yang menimpa keluarganya pada masa ini.

"Kami yakin kepada kekuasaan Allah. Kami berikhtiar untuk memulihkan A'Ariz walau apa yang terjadi ... walaupun doktor memberitahu jangka hayatnya hanya tinggal dua atau tiga tahun sahaja lagi.

"Memang semakin hari A'Ariz nampak semakin lemah dan perutnya bertambah membusung selain matanya juga membengkak," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini, baru-baru ini.



Keadaan terkini A'Ariz yang memerlukan RM200,000 untuk rawatan hati di India - Gambar Mohd Zamani

A'Ariz dikesan menghidap penyakit hati selepas dua bulan dilahirkan selain baru sekali menjalani pembedahan untuk membuang hempedu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah.

Mohd Zamani bertugas sebagai kakitangan di sebuah agensi kerajaan dengan pendapatan bulanan RM1,400 sebulan turut menyatakan kesedihan kerana terpaksa memikirkan cara untuk mencari dana rawatan di luar negara yang mencecah RM200,000.

A'Ariz dilahirkan pada 16 Mei 2013 dengan berat 2.64 kilogram dan kini memiliki berat badan hanya tujuh hingga lapan kilogram.

"Kami tiada pilihan lain sebenarnya. Kami terpaksa ke India untuk mendapatkan rawatan hati dan difahamkan kepakaran di sana turut ditawar dengan harga yang sedikit munasabah.

"Perkara yang menakutkan kini adalah kesuntukan waktu dan keadaan A'Ariz yang semakin teruk...kami berserah dan berusaha," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, A'Ariz kini terpaksa menjalani rawatan di Hospital Selayang setiap tiga bulan sekali.

"Kami mahu A'Ariz kembali ceria bermain seperti kanak-kanak lain. Kami tidak mahu kehilangannya dan benar-benar berharap dapat mencari dana sebelum semuanya terlambat," jelasnya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat tambahan boleh terus melayari laman Facebook Muhammad a'ariz daniel bin mohd zamani atau meringankan beban keluarga ini dengan menyumbang di akaun Maybank 102064087349 atau CIMB 02110021125523 di atas nama Safinatul Hayah Abdullah Sani (Ibu A'Ariz).