Ringkasan AI
- Para pengamal media yang dijemput untuk membuat liputan ibadah haji di Arab Saudi kali ini bakal dihidangkan dengan penggunaan aplikasi teknologi maju, termasuk biometrik dan kecerdasan buatan.
- Langkah itu selari dengan Visi 2030 Arab Saudi, mahu mengetengahkan kemajuan teknologi dan kemakmuran ekonomi, di samping terus memperkukuh statusnya sebagai penjaga dua kota suci untuk umat Islam.
- Media terpilih dari negara tertentu akan dibawa naik helikopter, melihat dari udara tentang perjalanan jutaan jemaah.
- Pengamal media juga berpeluang berkongsi bersama rakyat Malaysia tentang cabaran-cabaran lain yang bakal dihadapi jemaah haji, termasuk melaksanakan ibadah wukuf di Arafah dan melontar jamrah di Mina.
Fasilitator Media, Kementerian Media Arab Saudi, Datuk Izelan Basar berkata, dalam lawatan khas selama dua minggu itu, pengamal media termasuk dari Malaysia akan diberi taklimat tentang pengurusan dan teknologi di belakang tabir, bagi memastikan ia lebih lancar.
Izelan berkata, langkah itu juga selari dengan Visi 2030 Arab Saudi, mahu mengetengahkan kemajuan teknologi dan kemakmuran ekonomi, di samping terus memperkukuh statusnya sebagai penjaga dua kota suci untuk umat Islam.
“Kerajaan (Arab Saudi) akan memberi taklimat tentang Visi 2030 mereka, bagaimana jemaah akan menggunakan teknologi melalui telefon, pasport … ini semua akan dipamerkan kepada media. Kita akan dibawa ke tempat sekuriti, di mana lebih 6,000 kamera di Masjidil Haram.
“Kalau rezeki kita murah, media terpilih dari negara tertentu akan dibawa naik helikopter, melihat dari udara tentang perjalanan jutaan jemaah. Penonton akan dapat melihat sendiri bagaimana jemaah melakukan ibadah haji dari udara,” katanya lagi.
Selain itu Izelan berkata, pengamal media juga akan berpeluang berkongsi bersama rakyat Malaysia tentang cabaran-cabaran lain yang bakal dihadapi jemaah haji, termasuk melaksanakan ibadah wukuf di Arafah dan melontar Jamrah di Mina.
Pengarang Kanan Astro AWANI, Dzulfitri Yusof dan Shafizan Johari mendapat jemputan dari Kementerian Media, Kerajaan Arab Saudi untuk membuat liputan sempena musim haji 1445 Hijiriah.
Mereka adalah antara menyertai sembilan penerbit, wartawan dan jurukamera dari pelbagai agensi media tempatan berpeluang membuat liputan musim Haji 1445 Hijiriah.
Dalam pada itu Izelan berkata, penggunaan aplikasi dan teknologi digital oleh Arab Saudi sudah mula diterapkan kepada Jemaah Haji sejak mereka berada di negara masing-masing lagi.
Beliau berkata, jemaah haji dari Malaysia, yang sering dipandang tinggi kerana tahap displin dan kebersihan yang tinggi, merupakan antara yang terpilih untuk menggunakan aplikasi Makkah Route dilengkapi dengan ciri biometrik.
“(Penggunaan Makkah Route) seawal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di Hotel Movenpick. Hanya sampai terus pergi umrah, dan beg kita akan diletakkan dalam bilik. Tak payah difikirkan. Jadi sekarang hanya perlu selesaikan di KLIA, dan (bila sampai) terus fokus kepada Umrah,” katanya lagi.