LIPIS: Tindakan tangkas anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lipis berjaya menangkap seekor ular kapak yang ditemui orang awam berdekatan Sekolah Kebangsaan Wan Ibrahim, petang Selasa.

Pegawai APM Daerah Lipis, Kapten (PA) Mohd Azhar Bin Yusof berkata, anggotanya berjaya menurunkan reptilia seberat 500 gram itu dengan menggunakan penyepit khas dalam tempoh 10 minit sahaja.

"Orang awam menemui ular sepanjang satu meter itu di dahan pokok semasa cuba menurunkan permainan helikopter kawalan jauh yang tersangkut di pokok terbabit.

"Semasa cuba menurunkan helikopter itu, dia ternampak reptilia itu, dan segera menghubungi kami," katanya.

Mohd Azhar berkata, pihaknya turut membantu menurunkan permainan kawalan jauh orang awam terbabit, dan tiada kecederaan yang dilaporkan semasa kejadian.