KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada pemenang Hadiah Nobel, Muhammad Yunus di atas pelantikannya sebagai Ketua Penasihat kerajaan sementara Bangladesh.

Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, pengalaman luas yang dimiliki oleh Muhammad akan memberi jaminan untuk membimbing Bangladesh dengan bijaksana dan integriti.

"Pada detik penting dalam sejarah ini, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada rakyat Bangladesh dan masa depan yang cemerlang," kata Anwar.

Dalam entri sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan, menambah semangat dan visi golongan muda akan membawa pembaharuan kepada Bangladesh.

"Saya teringat kata-kata abadi daripada pelukis, penyair dan ahli falsafah Bengali yang hebat, Rabindranath Tagore: “Di mana minda dibimbing ke hadapan olehmu ke dalam pemikiran dan tindakan yang semakin meluas;  ke dalam syurga kebebasan itu, ayahku, biarkan negaraku bangun," tambah beliau.

Muhammad yang merupakan pemenang Hadiah Nobel, mengangkat sumpah jawatan pada Khamis untuk mengetuai kerajaan peralihan terdiri daripada 17 anggota di Bangladesh.

Ia berlaku selepas protes berminggu-minggu yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Liga Awami pimpinan Perdana Menteri Sheikh Hasina.

Majlis angkat sumpah Muhammad, 84, dan pasukannya berlangsung di pejabat Presiden Mohammed Shahabuddin di ibu negara Dhaka.