Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail dicadangkan sebagai individu yang perlu dilantik untuk mengetuai pejabat jurucakap politik Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Cadangan itu dikemukakan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menggulung perbahasan di Kongres Tahunan Nasional ke-9 parti itu di Dewan Sivik MBPJ pada Sabtu.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Anwar menjelaskan beliau menyerahkan kepada Abdul Khalid untuk menentukan bidang tugas yang perlu dipikul oleh Saifuddin.

"Saya mencadangkan nama Saifuddin kerana beliau layak untuk memegang jawatan tersebut dan terpulang kepada Tan Sri Khalid untuk menentukan bidang tugasnya," katanya kepada pemberita selepas Kongres PKR ditangguhkan.

Sebelum itu, Abdul Khalid semasa ucapan penggulungannya mengakui kelemahan beliau yang tidak bijak berpolitik dan mengumumkan akan menubuhkan pejabat jurucakap politik Menteri Besar untuk mengatasi masalah tersebut.

Sementara itu ketika mengulas permintaan supaya ahli parti mengendalikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Selangor, Anwar ahli parti tidak sewajarnya terlibat dalam mana-mana perkhidmatan awam atau dalam kerajaan negeri.

"Isunya ialah individu itu perlu benar-benar profesional untuk mengendali sesebuah organisasi dan tidak mewakili parti.

"Parti tidak wajar dilihat atau terlibat secara langsung dalam mana-mana pengurusan perkhidmatan awam urusniaga negeri. Kita mesti mengasingkan tanggungjawab mereka," katanya lagi.

Dalam ucapan penggulungannya, Anwar menjelaskan bahawa kedudukan GLC bukan merupakan rizab parti.

"Kita jangan kompromi dengan prinsip integiriti pentadbiran yang baik yang kita bicarakan. Kedudukan GLC itu bukan rizab parti.

"Dan sesiapa yang duduk dalam GLC itu mungkin orang politik mungkin tidak. Tapi orang itu mesti ada kelayakan yang tidak akan mencampurkan urusan parti," katanya dalam Kongres Nasional Keadilan ke-9 di Petaling Jaya.

Dalam ucapan perbahasannya, Ketua Penerangan PKR Shuhaimi Shafiei, meminta ahli parti dilantik dalam GLC dan majlis tempatan untuk memantau mereka yang tidak sehaluan dengan dasar parti.