KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pilihan tertinggi sebagai individu yang paling sesuai untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia, ketika ini.

Dapatan tersebut diperoleh hasil tinjauan pendapat awam yang dijalankan oleh Endeavour-MGC membabitkan 1,068 responden semua kaum, dan 791 responden Melayu yang dipilih melalui persampelan rawak berstrata.

Menerusi dapatan tersebut, 46 peratus responden semua kaum dan 32 peratus responden Melayu mahu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu memimpin negara untuk tempoh sekarang.

.

Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menjadi pilihan kedua dengan 25 peratus responden Melayu dan 17 peratus responden semua kaum berpandangan bekas Perdana Menteri itu sesuai untuk menjadi Perdana Menteri.

Ia diikuti dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Khairy Jamaluddin yang memperoleh enam peratus daripada responden semua kaum, manakala responden Melayu masing-masing sembilan peratus memilih Ismail Sabri dan lapan peratus (Khairy).

.

Sementara itu, PH memperoleh undian tertinggi dengan 39 peratus daripada responden semua kaum memilih gabungan itu sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan esok.

Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh 18 dan 17 peratus undian daripada kumpulan responden tersebut.

.

Bagaimanapun, bagi responden Melayu, PN yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan berada di kedudukan teratas dengan undian sebanyak 26 peratus, jika PRU diadakan esok.

Manakala, BN di tangga kedua dengan 24 peratus diikuti PH sebanyak 20 peratus.

Bagi soalan apakah pertimbangan yang paling penting untuk memilih parti yang hendak diundi, isu agama adalah paling tinggi dengan responden Melayu merekodkan 30 peratus, manakala semua kaum sebanyak 22 peratus.

Sementara faktor calon pula menjadi pilihan kedua dengan masing-masing responden Melayu dan semua kaum memberikan undian sebanyak 27 peratus.

Tinjauan pendapat awam itu dijalankan dari 4 hingga 18 April lalu, dengan margin kesilapan keputusan adalah antara tiga dan 3.5 peratus berdasarkan bilangan pemilih berdaftar di Semenanjung, setakat Jun 2022.

Dari segi demografi gender dan kaum, jumlah responden lelaki dan wanita masing- masing 50 peratus manakala kaum Melayu mewakili 62.2 peratus, Cina (28.7 peratus), India (8.2 peratus) dan lain-lain (0.9 peratus).

Kesemua mereka berumur antara 18 hingga 60 tahun ke atas dengan golongan yang berumur 30 hingga 39 tahun adalah paling ramai iaitu 26 peratus.