PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tidak mengenakan sebarang sekatan terhadap mana-mana organisasi media dalam membuat liputan berita anjuran agensi itu.

Beliau turut memberi jaminan akan segera menghubungi pihak PDRM berhubung perkara berkenaan.

"Soal media, saya akan hubungi pihak PDRM segera supaya jangan ada mana-mana sekatan kepada media seperti mana yang berlaku kepada Malaysiakini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di sini hari ini.

Media melaporkan portal Malaysiakini dilarang membuat liputan di sebuah acara polis di Kuala Lumpur yang sepatutnya turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain semalam.

Acara "PDRM Special Dialogue II" bermula dengan perbincangan tertutup antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan pemegang taruh antaranya agensi penguatkuasaan undang-undang lain di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan.

Larangan itu dikenakan walaupun setelah Malaysiakini menerima undangan menerusi emel daripada Bukit Aman, dengan portal berkenaan membalas undangan pada hari sama serta menyertakan maklumat dua wartawan yang ditugaskan untuk ke acara itu.

Menurut pegawai media Bukit Aman, proses saringan dibuat dan mereka yang menerima emel undangan kedua pada 21 Ogos sahaja dibenarkan membuat liputan.

Wartawan Malaysiakini bagaimanapun dibenarkan masuk kemudian untuk membuat liputan sidang media melibatkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Ruji Ubi.

-- BERNAMA