Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yakin perkongsian pengalaman dan kejayaan dalam mengendalikan kes-kes rasuah menerusi program latihan penyiasatan dan pendakwaan akan membantu Palestin memerangi gejala rasuah dengan efektif.

Berucap pada majlis perasmian program latihan yang disertai 19 pegawai dari Palestin, di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, “saya berharap latihan ini akan mededahkan kepada teknik siasatan yang berkesan dan sistem perundangan efektif bagi Palestin.”

Ini kali pertama pegawai-pegawai Palestin mengikuti program kendalian MACA, yang mana program latihannya telah mendapat pengiktirafan Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) baru-baru ini.

Program yang merangkumi aspek penyiasatan dan pendakwaan diadakan dalam dua peringkat. Program bermula 3 Disember lalu dan akan berakhir 17 Disember ini.

Program latihan ini dibiayai oleh Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).

“Ini kerjasama julung kali antara JICA, MACA dan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dan saya berharap inisiatif ini akan menjadi permulaan bagi kerjasama masa di antara kedua-dua organisasi dalam memerangi rasuah,” kata Abu Kassim.

Menurut beliau, MACA yang telah diterima masyarakat antarabangsa sebagai pusat pembinaan kapasiti pencegahan rasuah, turut membantu negara-negara lain membina agensi yang memerangi rasuah.

"Malah sejak beberapa tahun lepas kita dapati banyak negara Arab yang sedang membangunkan agensi pencegahan rasuah mereka, meminta bantuan SPRM.

"Pada tahun ini sahaja kita telah memberikan latihan khusus sebegini kepada peserta dari Bhutan, Vietnam. Ini tidak termasuk pegawai-pegawai kita yang pergi ke negara luar membuat pembentangan.

"Ini kerana banyak negara tidak mempunyai agensi pencegahan rasuah yang khusus dan Malaysia antara agensi tertua di dunia yang mempunyai sejarah penubuhan pencegahan rasuah yang lama, sejak tahun 1967 lagi," katanya.

Abu Kassim yang juga Naib Presiden Pertubuhan Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IAACA) berkata, beliau percaya pegawai-pegawai Suruhanjaya Antirasuah Palestin yang mengikuti program latihan akan menyediakan platform bagi perkongsian idea dan pengalaman dalam bidang-bidang penyiasatan dan pendakwaan.

Daripada 19 pegawai yang mengikuti latihan, sembilan merupakan pegawai dari Suruhanjaya Antirasuah Palestin, enam mewakili Pejabat Peguam Negara, dua pegawai Pihak Berkuasa Kewangan Palestin dan dua lagi dari Biro Kawalan Audit dan Pentadbiran Palestin.

Wakil peserta program latihan, Yahya Adawee berkata, tujuan utama untuk mengikuti program ini adalah bagi mengembangkan kemahiran penyiasatan jenayah kewangan selain memajukan akademi pencegahan rasuah di sana (Palestin).

Beliau yang juga Pendakwa Raya Bethlahem berkata, pihaknya memilih Malaysia berdasarkan pengalaman besar dalam usaha pencegahan rasuah berbanding Palestin.

Palestin menubuhkan suruhanjaya antirasuahnya pada tahun 2010.

Ihsam Abdul Halim, Pesuruhjaya Audit dan Siasatan Pencegahan Rasuah Palestin pula berkata, latihan dilalui dapat dimanfaatkan bagi mengukuhkan lagi aspek pendidikan dan pencegahan rasuah di Palestin.

Dalam pada itu, Pengurus Program JICA, Umme Aiman Siddiqi berkata, program bersama agensi pencegahan rasuah ini merupakan antara program yang dijalankan hasil kerjasama tiga negara iaitu Jepun, Malaysia dan Palestin.

"Malaysia ada apa yang diperlukan, jadi bagi sektor kewangan kita telah melalui sesi latihan bersama Bank Negara tahun lalu, dan bagi model pencegahan rasuah, MACA, SPRM dilihat sebagai contoh terbaik yang memenuhi kehendak.

"Semua program ini ditaja oleh kerajaan Malaysia, JICA kerana kerjasama ini dalam membantu negara-negara membangun, " katanya.

Turut hadir pada majlis perasmian hari ini ialahKetua Perwakilan Pejabat Malaysia JICA, Kumijiko Sato dan Pengarah MTCP, Kementerian Luar Malaysia, Sharifah Azneeda Wada Syed Mohd Zulkarnain Wafa.

Sejak penubuhannya pada tahun 2006, kata Abu Kassim, MACA telah berusaha gigih dalam misinya untuk memberi latihan berkaitan penguatkuasaan antirasuah yang signifikan dan efektif di peringkat nasional dan global.

Pada tahun 2012, seramai 503 peserta telah menyertai program antarabangsa yang dikendalikan oleh MACA berbanding 287 tahun 2011, 228 (2010); 154 (2009), 136 (2008) dan 98 (2007).