GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi menetapkan 28 April ini untuk memutuskan sama ada akan menyemak semula keputusan terbuka Mahkamah Koroner terhadap kematian warga Australia Annapuranee Jenkins atau lebih dikenali sebagai Anna Jenkins.

Permohonan semakan itu difailkan oleh anaknya, Gregory Steven Jenkins, berikutan keputusan Mahkamah Koroner pada Mei 2023 yang mengisytiharkan keputusan terbuka dalam inkues Anna.

Mayat Anna ditemukan hampir tiga tahun selepas kehilangannya secara tiba-tiba pada 2017 ketika bercuti di Pulau Pinang.

Dalam prosiding hari ini, Hakim Rofiah Mohamad yang menetapkan 14 Mac untuk pengurusan kes berkata beliau akan meyakinkan koroner Norsalha Hamzah untuk mengemukakan alasan penuh penghakimannya pada tarikh yang ditetapkan itu.

"Saya tidak akan menyampaikan keputusan saya hari ini. Saya akan cuba meyakinkan koroner untuk mengemukakan alasan penuh, bagaimanapun, sama ada kami menerima atau tidak menerima apa-apa daripada Mahkamah Koroner ketika itu, saya akan menyampaikan keputusan saya pada 28 April. Ini bagi memastikan keadilan untuk semua," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong memberitahu mahkamah pihaknya memerlukan alasan koroner untuk mencapai keputusan tersebut sebelum mereka mengemukakan sebarang perkara yang perlu diberi perhatian dalam kes itu.

Lee berkata bukan niat pendakwaan untuk menangguhkan perkara itu memandangkan pihaknya telah memenuhi tanggungjawab mereka sepanjang prosiding inkues.

Sementara itu, peguam David Dev Peter mewakili Gregory berkata kes itu bermula pada Disember 2021 dan tidak sepatutnya ditangguhkan lagi.

"Jika kita lihat pada dua muka surat terakhir nota bukti, alasan daripada keputusan itu sudah ada, oleh itu, kita harus meneruskan permohonan semakan.

"Kes ini mempunyai kepentingan awam, bukan sahaja di peringkat tempatan malah antarabangsa," katanya.

Turut hadir pada prosiding hari ini Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Simon Fellows.

-- BERNAMA