KUALA LUMPUR: Anggota Majlis Am Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa pihak berkuasa menggantung pemimpin MTUC dan menyiasat agar dana kesatuan berkenaan dilindungi serta digunakan secara sah.

Seorang perwakilan dan anggota majlis berkenaan, A Sivananthan mendakwa  timbalan Presiden MTUC, Mohd Affendy Abdul Ghani ketika sesi penutup Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan (TDC) baru-baru ini memaklumkan akan mengeluarkan RM1.5 juta daripada akaun deposit tetap MTUC untuk pentadbiran mereka, tanpa mengemukakan sebarang dokumen sokongan.

Jelas Sivananthan, akaun deposit tetap tersebut didakwa akan diisi semula apabila kepimpinan MTUC menerima geran daripada Pejabat Perdana Menteri berjumlah RM4 juta, yang diluluskan kerajaan untuk program latihan.

"Dengan jelas ia bercanggah dengan niat pemberian (geran berjumlah RM4 juta) yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Apabila pimpinan secara terang-terangan mengumumkan penyalahgunaan geran Perdana Menteri, ia juga menunjukkan bahawa mereka akan terus membelanjakan dana MTUC. Kami tidak mahu melihat dana MTUC disalahgunakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 2 Julai lalu, Perdana Menteri ketika berucap merasmikan persidangan MTUC kali ke-42 memaklumkan kerajaan bersetuju menyediakan geran tahunan RM4 juta kepada MTUC untuk melaksanakan program-program kesedaran dan latihan yang signifikan

Mengulas lanjut, dakwa Sivananthan lagi, kepimpinan MTUC yang dipilih pada September 2020 juga tidak mengemukakan dan membentangkan Penyata Akaun Tahunan yang diaudit untuk tahun berakhir dari Mac 2020 hingga 2022 kepada Majlis Am, mahupun TDC.

Katanya, anggaran belanjawan untuk tempoh 2023 hingga 2025 pula hanya dibentangkan pada 3 Julai lalu, iaitu pada hari kedua TDC.

Bagaimanapun, ujarnya anggaran belanjawan hanya boleh dibincangkan selepas meluluskan pendapatan dan perbelanjaan untuk 2020 hingga 2022, dan kegagalan berbuat demikian adalah pelanggaran besar peraturan TDC.

Dalam masa yang sama, beliau berkata ketika TDC diadakan pada 2 dan 3 Julai lalu, kira-kira 30 kesatuan sekerja membantah dan menuntut supaya kepimpinan MTUC menangguhkan TDC berkenaan.

Ia bagi membolehkan mereka membetulkan semua pelanggaran Perlembagaan sebelum mengadakan persidangan, ujarnya lagi.

Namun, kepimpinan MTUC dengan sokongan majoriti perwakilan yang intimidasi didakwa telah menolak bantahan dan meneruskan TDC berkenaan.

"Kami mengemukakan tuntutan sah kami agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera untuk menggantung kepimpinan supaya tindakan-tindakan yang menyalahi undang-undang tidak akan dilakukan, yang boleh menjejaskan lagi dan menjadikan Pusat Pekerja ini tidak dapat dibaiki.

"Walau bagaimanapun, pembayaran gaji pekerja dan utiliti mesti diuruskan, tanpa sebarang gangguan," katanya.

Sivananthan turut memaklumkan pihaknya telah memfailkan secara rasmi kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) Cawangan Selangor dan Ibu Pejabat RoS, Putrajaya berhubung persidangan MTUC yang diadakan tanpa mengikut Perlembagaan MTUC.

Perkara tersebut juga, katanya dibawa ke perhatian Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, dan Timbalan Menteri dan Menteri Dalam Negeri, untuk tindakan segera mereka.