KUANTAN: Anak perempuan seorang pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Pahang dilaporkan hilang sejak Ahad, selepas membuang sampah di hadapan rumahnya di Taman Temerloh Jaya, Temerloh.


Ringkasan AI
  • Nurul Aliya Zulkifli, 20, anak seorang pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pahang, dilaporkan hilang sejak Ahad selepas membuang sampah di hadapan rumahnya di Taman Temerloh Jaya, Temerloh.
  • Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mazlan Hassan, menyatakan bahawa kehilangan Nurul Aliya dilaporkan oleh bapanya pada Isnin, dan kali terakhir dia dilihat pada 11.15 malam dengan memakai tudung bawal coklat, blaus berbelang putih biru, dan seluar hitam.
  • Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu, kerana tiada CCTV di lokasi kejadian dan pencarian masih belum menemui Nurul Aliya.


Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mazlan Hassan berkata kehilangan Nurul Aliya Zulkifli, 20, dilaporkan oleh bapanya pada Isnin.

Beliau berkata kali terakhir Nurul Aliya yang berketinggian 160 sentimer (cm) dan berat 45 kilogram (kg) dilihat, ketika membuang sampah di hadapan rumah mereka pada 11.15 malam, dengan mengenakan tudung bawal berwarna coklat, blouse berbelang putih biru serta berseluar hitam.

"Ayah mangsa memberitahu, anak perempuannya telah keluar untuk membuang sampah yang jaraknya kira-kira lima meter dari rumahnya.

"Pengadu kemudian mendapati anaknya tiada di hadapan rumah dan telah membuat carian di sekitar kawasan tetapi tidak berjaya.

"Ayah mangsa telah membuat aduan pada Isnin dan kes disiasat sebagai Orang Hilang.

"Polis telah menjalankan pencarian dan hingga sekarang, masih belum menjumpai anak mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu terbabit untuk tampil di mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di 09- 2716222

-- BERNAMA