Seorang warga emas maut di pukul bertalu-talu dengan kayu dan buluh oleh anaknya di Kampung Hujung Repek, di sini awal pagi Rabu.

Menurut Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim, mangsa yang maut dikenali sebagai Yasa Muda, 71.

Dalam kejadian sekitar jam 5 pagi tadi, suspek yang merupakan seorang orang kurang upaya (OKU) kerana ketidakupayaan mental bertindak memukul ayahnya secara tiba-tiba di pekarangan rumah mereka di kampung berkenaan.

Suspek yang berusia 32 tahun dipercayai bertindak secara tiba-tiba memukul ayahnya yang ketika itu sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh.

Mangsa maut di tempat kejadian dengan kecederaan parah di kepala dan putus telinga.

"Akibat serangan itu, sebelah telinga mangsa juga turut terputus dan kita masih menyiasat motif sebenar kejadian kerana suspek dikatakan mempunyai masalah mental.

"Suspek sepatutnya menjalani rawatan mental di hospital namun tidak dihantar oleh keluarganya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, pada Rabu.

Bercakap di sidang media pada Rabu, Mazlan memaklumkan pihak polis yang menerima laporan berhubung kejadian tersebut sekitar jam 5.30 pagi telah bergegas ke tempat kejadian.

Katanya berlaku pergelutan dan suspek bertindak agresif sebelum pihaknya berjaya menahan suspek.

Suspek kini di tahan reman manakala mayat mangsa di hantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

Mazlan memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Sementara itu, mengulas mengenai penemuan serpihan tulang dipercayai rangka manusia di Kampung Pak Keral, Pengkalan Kubor, Tumpat Isnin lepas, Mazlan berkata pihaknya akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas rangka dan serpihan tulang tersebut.

Mazlan menjelaskan, dua tengkorak turut ditemui dan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut.

Dalam masa yang sama, beliau tidak menolak kemungkinan serpihan tulang dan tengkorak berkenaan milik dua wanita dengan salah seorangnya berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang sejak jun 2013.

"Mengikut laporan yang diterima pihak polis, kedua-dua mangsa ini dikatakan keluar dari rumah kerana mahu ke kedai runcit pada 11 malam.

"Kemungkinan besar kedua-dua mangsa terlibat dalam kemalangan menyebabkan mereka terjatuh ke dalam tali air itu kerana sebelum ini, kami turut menemui rangka motosikal di tempat kejadian," katanya.