Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Batu Gajah hari ini atas dua pertuduhan, menakutkan secara jenayah dan menyebabkan kecederaan ke atas ibu kandungnya, Isnin lalu.

Tertuduh, Halim Jeri, 48 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama, Halim didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Kutom Jali, 67 tahun, di rumah mangsa di Simpang 3 Ulu Dedap dekat Kampung Gajah pada jam 10.45 pagi hingga 11 pagi pada Isnin.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas ibu kandungnya itu yang dilakukan pada masa dan lokasi sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun atau didenda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Nur Farhana Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, R Yuvaraj.

Majistret Mohd Fitri Sadarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Sebutan semula kes pada 16 Januari.