Menteri Besar Selangor Amirudin Shari telahpun memberikan penerangan penuh kepada kepimpinan PKR berhubung pindaan terhadap Enakman Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor yang menimbulkan isu di negeri ini bulan lepas.

Katanya, penerangan itu disampaikan di mesyuarat biro politik parti berkenaan yang berlangsung pada petang Rabu.

"Dalam mesyuarat tadi saya melaporkan apa yang telah berlaku dan beberapa perkembangan berkenaan enakmen itu. Ini kerana sebelum ini saya belum pernah lapor perkara ini secara rasmi kepada kepimpinan tertinggi parti disebabkan oleh kekangan masa dan sebagainya," katanya pada Rabu.

Beliau berkata penerangan itu dibuat atas permohonannya agar perkara berkenaan dapat dibincangkan di peringkat tertinggi parti agar satu konsensus terbaik dapat dicari bersama oleh semua komponen Pakatan Harapan mengenai bagaimana hendak merancang enakmen ini di masa hadapan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Temu Rapat Naib Canselor dan Pengurusan Kanan Institusi Pengajian Tinggi bersama Datuk Menteri Besar Selangor di sini.

Pindaan terhadap enakmen berkenaan sebelum ini menjadi isu di Selangor apabila usulnya tidak dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Julai lepas selepas ditangguhkan Speaker dewan, Ng Suee Lim sejurus selepas dua hari bersidang.

Sementara itu Amirudin berkata di masyuarat berkenaan beliau turut menerangkan mengenai beberapa isu berhubung perubahan yang dilakukan terhadap beberapa Initiatif Peduli Rakyat.

"Secara asasnya kepimpinan PKR memahami perubahan yang dilakukan ke atas initiatif itu berikutan kerajaan negeri lebih mementingkan kemampanan program berkenaan dan tidak mahu hanya bersifat populis membuat 'pemberian' kepada rakyat," katanya.

-- BERNAMA