KUALA LUMPUR: Tegas dalam kelembutan. Hukum syarak diutamakan, namun tidak pula mengabaikan hubungan antara manusia.

Itu rumusan penghibur legenda negara, Datuk Jamal Abdillah terhadap Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menghembuskan nafas terakhir, hari ini.

Antara insan bertuah yang berpeluang mengenali Allahyarham sejak kecil, Jamal mengakui, begitu mengasihi dan menghormati Allahyarham yang merupakan sahabat baik arwah bapanya.

"Selalu juga saya bertemu Allahyarham, sejak kecil apabila menghadiri majlis-majlis seperti majlis sambutan hari raya.

"Pernah Allahyarham menasihati saya atas permintaan arwah ayah. Allahyarham berpesan, kasihilah ayah dan jangan malukan keluarga.

"Allahyarham juga selalu memberi nasihat berkaitan agama. Katanya, apa pun terjadi, jangan putuskan hubungan dengan Allah. Selagi kita jaga yang lima waktu itu, Allah juga akan jaga kita," katanya ketika muncul dalam program Buletin AWANI hari ini.



Mengenang Tan Sri Harussani Zakaria - Reaksi Datuk Jamal Abdillah

Seniman yang masyhur dengan lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu berkata, keperibadian Allahyarham yang dianggap seperti bapanya sendiri itu melambangkan seorang insan berpekerti mulia dan tinggi pengetahuan agama.

"Jujur memang saya segan dengan Allahyarham, walaupun saya selalu juga berjumpa dengannya apabila pulang ke Ipoh.

"Apa sahaja yang ingin disampaikan, Allahyarham akan buat dengan cara yang sangat lemah lembut, nada suaranya jelas dan tersusun. Itu  yang membuat saya jadi kasih dan hormat padanya," tambah Jamal lagi.

Paling diingati Jamal, ialah teguran Allahyarham semasa beliau menyampaikan sumbangan beras kepada golongan asnaf di Perak, satu masa dahulu.

"Dalam fikiran saya, sumbangan itu adalah zakat. Tapi Allahyarham tegur, sumbangan itu sedekah dan tak boleh dianggap zakat.

"Allahyarham jelaskan dengan lebih lanjut dan dari situlah saya memahami perbezaan antara zakat dan sedekah.

"Dan apabila saya beritahu mahu buat sedekah itu atas nama arwah ayah, air matanya terus mengalir," kata Jamal mengenangkan peristiwa itu.

Sedikit terkilan kerana hasrat menjemput Allahyarham untuk menyempurnakan majlis tahnik anaknya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat nanti tidak kesampaian, Jamal berkata, beliau akan terus mengenang Allahyarham sebagai individu yang tegas dengan hukum agama dan sentiasa adil dalam memberikan teguran serta pendapat.

"Allahyarham akan cakap sesuatu berpandukan apa yang ada dalam hukum syarak. Penilaiannya bukan pada pangkat atau status, dan tidak pernah berpihak kepada mana-mana, sebaliknya hanya mengikut apa yang tertulis dalam agama," ujar Jamal lagi.

Harussani yang memegang jawatan Mufti Perak sejak 1985 menghembus nafas terakhir di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, pada Ahad.

Allahyarham disahkan dijangkti COVID-19 lebih seminggu lalu dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.