Aktiviti penjawat awam di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini berjalan seperti biasa hari ini ketika negara dilanda desas-desus dengan penjajaran semula landskap politik.

Di sebelah pagi terutamanya sebelum waktu puncak pada 8.00 pagi, penjawat awam tiba di kementerian dan pejabat agensi masing-masing untuk memulakan tugas.

Suasana dan pergerakan di kawasan Perdana Putra, yang menempatkan pejabat-pejabat utama seperti Pejabat Perdana Menteri, Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Pejabat Ketua Setiausaha Negara, juga adalah seperti biasa bagi pelbagai urusan.

Kenderaan rasmi yang membawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilihat memasuki Perdana Putra kira-kira 8.50 pagi. Kenderaan beliau kemudian dilihat meninggalkan kawasan itu kira-kira pukul 10.25 pagi.

Kenderaan berasingan yang membawa suami Timbalan Perdana Menteri, yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dilihat memasuki Perdana Putra pada 9.36 pagi, sebelum meninggalkan perkarangan kawasan itu pada kira-kira 10.25 pagi.

Beberapa kenderaan yang membawa menteri-menteri Kabinet turut dilihat memasuki Perdana Putra pagi ini antaranya Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut seorang pegawai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan memasuki pejabatnya hari ini kerana mempunyai jadual yang telah disusun untuknya.

Dalam pada itu, Majlis Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berlangsung seperti dijadualkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), bagaimanapun menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun tidak dapat menghadirinya.

--BERNAMA