KUCHING: Aktiviti lawatan dari pulau ke pulau (island hopping) dan perkhidmatan bot persiaran sungai (river cruise) berpotensi dikembangkan di Sarawak bagi merancakkan kembali industri pelancongan negeri itu, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurutnya, penerokaan aktiviti berkenaan di pulau-pulau di negeri Bumi Kenyalang itu dapat menjana ekonomi penduduk setempat terutamanya komuniti yang mengerakkan aktiviti pelancongan di kawasan itu.

"Di Sarawak, promosi untuk destinasi pelancongan ke pulau agak kurang namun jumlah pelancong ke pulau di negeri ini agak memberangsangkan.

"Jadi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mahu membantu ekonomi masyarakat setempat dengan mempromosikan tempat pelancongan seperti Pulau Satang, Taman Negara Wetland Kuching supaya ada pembaharuan pakej seperti 'island hopping'," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan MOTAC ke Taman Negara Talang Satang di sini, semalam, bertujuan mendapatkan input bagi kementeriannya mengenal pasti konsep pembaharuan pakej pelancongan yang perlu diketengahkan.

Taman Negara Talang Satang yang diselia Perbadanan Hutan Sarawak (SFC), terdiri daripada pantai dan laut yang mengelilingi empat pulau iaitu Pulau Talang-Talang Besar dan Pulau Talang-Talang Kecil di Sematan serta Pulau Satang Besar dan Pulau Satang Kecil, terletak tidak jauh dari Santubong.

Nancy berkata antara tarikan aktiviti di kawasan itu termasuk menyelam skuba, selam snorkel, melihat tapak sarang burung koloni bridled terns serta black-naped terns (sejenis burung marin) dan melawat pusat pemeliharaan penyu.

Dalam pada itu, beliau berkata SFC turut menawarkan Program Sukarelawan Penyu Laut Sarawak (SSTVP) sepanjang bulan Mei hingga September sebagai inisiatif meningkatkan aktiviti ekopelancongan di Pulau Talang-Talang.

"Taman Negara ini terdiri daripada ekosistem pantai, marin dan air tawar. Haiwan yang dapat dilihat semasa aktiviti 'river cruising' di Kuching Wetland National Park ini adalah seperti buaya, proboscis monkey, ikan lumba-lumba Irrawady dan melihat kelip-kelip di waktu malam.

"Bagaimanapun, haiwan tersebut tidak dapat dilihat setiap masa kerana ia bergantung kepada keadaan pasang surut air dan juga cuaca," katanya.

-- BERNAMA