Akta Keharmonian Nasional yang bakal menggantikan Akta Hasutan 1948, tidak akan menjejaskan kuasa kerajaan dalam menangani perbuatan yang mengganggu-gugat keharmonian dalam masyarakat.

Walaupun kerajaan ingin menjamin kebebasan bersuara setiap warganegaranya, ia tidak boleh disalah guna sehingga menjejaskan perpaduan negara.

Perdana Menteri memberikan contoh apa yang berlaku masa sekarang melibatkan pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee yang didakwa mempersenda umat islam dan kesucian bulan ramadan.

Katanya, "Tindakan biadap dan kurang ajar pasangan muda yang menghina agama islam (baru-baru ini) menunjukkan kebebasan bersuara dan pendapat yang tidak bertanggunjawab, boleh memudaratkan masyarakat."

Pasangan tersebut memuat naik gambar mereka menikmati bak kut teh berserta keterangan gambar yang menyentuh sensitiviti umat islam di laman sosial facebook baru-baru ini.

Jelas Najib, kerajaan akan memastikan peruntukan akta baru itu mengekalkan tiga prinsip utama dalam menangani perbuatan yang mendatangkan kebencian dan penghinaan kepada institusi-institusi dan peruntukan perlembagaan.

Malah, Kerajaan akan membincangkan pelbagai pandangan mengenai keperluan menggubal satu rang undang-undang baharu menyamai Ordinan Darurat 1969 (EO) yang dimansuhkan pada 2011.

Perbincangan itu turut merujuk kepada pandangan polis bahawa rang undang-undang baharu itu akan dapat membendung jenayah.

Katanya, ada pihak yang mahu supaya dibenarkan aspek penahanan untuk pencegahan atau 'preventive detention'.

Walaupun ada yang tidak bersetuju, namun menurut Perdana Menteri apa yang penting dalam sebarang perundangan ialah perlu ada keseimbangan dalam melindungi hak individu, di samping menjaga kepentingan masyarakat.

"Ia juga perlu memastikan tidak berlaku salah guna kuasa oleh mana-mana pihak. Ini proses perbincangan yang akan kita lakukan", kata Najib kepada pemberita di Putrajaya.

Tambah beliau, di samping mendapatkan pandangan polis dan peguam negara, kerajaan juga akan mengambil kira pendapat beberapa pihak yang berkepentingan dalam soal itu seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Majlis Peguam.

Awal bulan ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan sedang berbincang dengan peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung draf rang undang-undang baru kerana ekoran pemansuhan Ordinan Darurat 1969, lebih 2,600 tahanan di Simpang Renggam, Johor dibebaskan dan mereka kembali melakukan aktiviti jenayah.