Menurut aturan urusan mesyuarat, ia akan dibangkitkan dalam sesi soal jawab lisan menteri.
Ahli Parlimen Jelutong, Sanisvara Nethaji Rayer, meminta Menteri Perpaduan Negara menyatakan adakah kerajaan bercadang untuk menggubal undang-undang Religious Harmony Act.
Penggubalan akta tersebut bagi mengatasi masalah polemik agama yang makin berleluasa sejak kebelakangan ini.
Seterusnya, isu bekalan tenaga awam yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau mahu penjelasan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengenai kesediaan ekosisem bekalan tenaga awam dan swasta negara dalam membekalkan tenaga hijau untuk operasi Pusat Data Malaysia.
Selain itu, isu kecerdasan buatan atau AI turut menjadi perhatian.
Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing meminta Menteri Digital menyatakan pencapaian program 'AI Untuk Rakyat' dan kesiapsiagaan ekosistem pembelajaran AI di institusi pendidikan, sektor swasta serta kerajaan.
Turut menjadi perhatian, gejala mat rempit yang semakin berleluasa.
Soalan dikemukakan Ahli Parlimen Labis Pang Hok Liong kepada Menteri Pengangkutan mengenai cara atau tindakan paling berkesan yang boleh diambil terhadap kumpulan itu yang sering melakukan aksi berani di lebuh raya, hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Sidang hari ini juga akan menyambung perbahasan Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024.
Mesyuarat ketiga, penggal ketiga Parlimen ke-15 (2024) berlangsung dari 14 Oktober hingga 12 Disember ini.