KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk meminda Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) bagi mengekang kegiatan pengurniaan sijil akademik palsu, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir.


Ringkasan AI
  • Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, menyatakan bahawa tiada keperluan untuk meminda Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) kerana peruntukan undang-undang sedia ada sudah memadai untuk mengekang kegiatan pengurniaan sijil akademik palsu.
  • Hukuman bagi individu atau institusi yang didapati mengurniakan sijil akademik palsu adalah denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.
  • Zambry bersetuju dengan cadangan untuk mengadakan audit terbuka kepada semua pegawai tinggi kerajaan bagi memastikan tiada yang menggunakan sijil akademik palsu.


Beliau berkata setakat ini peruntukan undang-undang sedia ada memadai iaitu hukuman denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya terhadap individu atau institusi yang didapati melakukan perbuatan tersebut.

"Berkaitan dengan perubahan akta sedia ada, saya fikir setakat ini kita sudah pun mempunyai peruntukan memadai iaitu mereka boleh dikenakan hukuman sehingga dua tahun penjara atau bersekali dengan denda RM200,000," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Dr Lingeshwaran R. Arunasalam yang ingin mengetahui sama ada Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) perlu dipinda untuk memastikan tindakan lebih tegas bagi menangani isu tersebut.

Sementara itu, Zambry turut bersetuju dengan cadangan Lingeshwaran untuk mengadakan audit terbuka kepada semua pegawai tinggi kerajaan termasuk Ahli Parlimen, Senator dan menteri bagi memastikan tidak ada yang menggunakan sijil akademik palsu.

Menjawab soalan asal Lingeshwaran mengenai pengurniaan ijazah doktor falsafah (PhD) palsu yang berleluasa di Malaysia dan berapa jumlah institusi terlibat dengan isu itu yang telah dikesan, Zambry berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menerima sebarang aduan berkaitan mana-mana institusi pendidikan tinggi dalam negara yang mengurniakan PhD secara tidak sah.

"Kita juga tiada maklumat berkaitan dengan jumlah individu yang menggunakan PhD palsu tersebut, ini saya maksudkan untuk dalam negara, luar negara macam-macam cerita yang kita dengar," katanya.

Zambry berkata setiap universiti awam juga mempunyai sistem pangkalan data masing-masing yang menyimpan maklumat mengenai pelajar yang telah menyelesaikan pengajian termasuk siswazah PhD.

"Data tersebut perlu dikemukakan kepada KPT setiap sukuan tahun bagi tujuan pengumpulan data pelajar. KPT sendiri telah membangunkan satu sistem carian maklumat penerima ijazah kehormat dan ijazah kedoktoran dari universiti awam dan swasta di portal Graduate Reference Hub for Employment and Training.

"Sistem ini sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa, dengan data-data tersebut dikemas kini selepas mendapat kelulusan daripada senat universiti, jadi kita boleh berikan rujukan bagi mana-mana pihak untuk membuat carian mereka," katanya.

-- BERNAMA