KUALA LUMPUR: Astro AWANI terus menjadi antara media rujukan utama bagi masyarakat Malaysia, berdasarkan kajian dan pengumpulan data Politweet.

Berdasarkan data tersebut, akaun Twitter rasmi Astro AWANI, iaitu @501Awani merupakan akaun ketiga paling popular di belakang akaun Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (@KhairyKJ) dan akaun Kementerian Kesihatan Malaysia (@KKMPutrajaya).

Politweet berkata, jumlah pengikut serta capaian @501Awani mencapai sehingga 26.73 peratus pengguna Twitter di negara ini.


Bagi kategori Bahasa Melayu, @501Awani berada di tangga kedua di belakang @KhairyKJ, dengan masing-masing mencapai 31.53 peratus dan 32.64 peratus capaian pengguna Twitter.

Sementara itu, bagi kategori Bahasa Inggeris pula, @501Awani berada di tangga keenam, di belakang @9Gag, @instagram, @KhairyKJ, @KKMPutrajaya dan @NajibRazak.

Dalam pada itu, Politweet berkata, Lembah Klang (Selangor dan Kuala Lumpur) merangkumi 49.48 peratus pengguna Malaysia yang aktif di Twitter.

“Perkara ini sangat penting ketika kita membaca analisa kandungan popular di Twitter. Apa yang sering diulangciap (retweet) tidak semestinya menggambarkan kepentingan negara.

“Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) juga kurang diwakili di Twitter, dengan hanya sekitar 5.79 peratus rakyat Malaysia sahaja menggunakan Twitter. Berdasarkan Banci Nasional Malaysia 2010, 20.48 peratus populasi Malaysia tinggal di Sabah, Sarawak dan juga Labuan,” katanya lagi.