Beliau berkata penubuhan akademi yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 23 Sept lepas itu adalah selaras dengan aspirasi Kementerian Digital bagi mewujudkan lebih ramai bakat mahir dalam bidang digital, khususnya dalam bidang keselamatan siber.
"Akademi ini akan memainkan peranan penting bagi meningkatkan daya tahan siber negara kita dalam menangani kekurangan bidang keselamatan siber, dengan menawarkan kursus pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
"Ia juga akan berfungsi sebagai pusat pembinaan kapasiti keselamatan siber yang akan menjalankan penilaian kepakaran, memperkemas penyelidikan dan membangunkan keupayaan keselamatan siber secara berterusan, dan mengukuhkan keberkesanan langkah keselamatan siber negara dalam menangani ancaman dan pencerobohan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Gobind berkata akademi itu akan membangunkan bakat keselamatan siber TVET bertaraf dunia dengan objektif untuk mengubah Malaysia menjadi hab keselamatan siber global, menggalakkan nilai etika dalam keselamatan siber untuk menyemai disiplin diri individu terhadap ancaman siber dan mewujudkan strategi pemasaran dan program akreditasi untuk menjalin kerjasama antarabangsa.
Beliau berkata akademi itu juga akan berfungsi sebagai pusat pembinaan kapasiti keselamatan siber TVET yang terulung, disasarkan kepada penjawat awam, industri dan ahli akademik.
"Akademi ini akan menawarkan kursus yang diperakui jangka pendek dan pertengahan, termasuk program kelayakan mikro dan kelayakan nano. Ia juga boleh mengkhususkan kursus keselamatan siber untuk universiti, politeknik dan kolej tempatan," katanya.
Gobind berkata Malaysia memerlukan sehingga 26,430 petugas keselamatan siber menjelang akhir 2025 dan angka itu dijangka meningkat kepada 28,068 pada tahun berikutnya.
Beliau berkata ini berdasarkan penyelidikan yang dijalankan bersama oleh CSM, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan pada 2023.
CSM berkata sehingga Julai tahun ini terdapat sejumlah 16,765 anggota keselamatan siber di Malaysia.
Gobind berkata akademi itu akan memberi tumpuan kepada bidang kritikal seperti tindak balas dan pengendalian insiden; tadbir urus keselamatan siber; jaminan dan penilaian keselamatan; forensik digital dan kriptografi.
Beliau berkata CSM sebagai peneraju dalam pembangunan kapasiti keselamatan siber negara, akan mengubah program Pembangunan Profesional Keselamatan Siber sedia ada kepada Akademi Keselamatan Siber.
CSM diiktiraf sebagai Badan Peneraju Industri dalam bidang Keselamatan Siber di bawah JPK dan sebagai pengerusi Kumpulan Kerja Teknikal dan Teknologi Keselamatan Siber (TTWG) di bawah Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).
-- BERNAMA