PETALING JAYA: Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Asia (AITEX) 2024 yang berlangsung pada 23 hingga 25 Ogos berlangsung dengan jayanya dan berakhir dengan nada yang cemerlang.

Ia menyaksikan AITEX 2024 dinaik taraf kepada sebuah acara global iaitu Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia (WITEX) serta penubuhan Persekutuan Umrah dan Haji ASEAN (AFUH).

Penjenamaan semula AITEX kepada WITEX adalah hasil resolusi daripada Sidang Kemuncak Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif sempena ekspo tiga hari tersebut, susulan cadangan daripada Shahid Yousuf Adam daripada Orient Travel Zambia.

Pengerusi Pengelola AITEX 2024 Datuk Jeffri Sulaiman berkata, ia merupakan satu penghormatan apabila pihak luar mengiktiraf acara anjuran Malaysia, dan menyatakan komitmennya untuk menjadikan WITEX sebagai wadah mengangkat pelancongan Islam ke mata dunia.

“Dengan nama WITEX, ia membuka pelancongan Islam lebih luas kepada penyertaan daripada negara-negara bukan Islam untuk mengambil bahagian.

“Insya-Allah kita akan jadi satu acara tahunan di dalam Malaysia untuk gamit lebih ramai pemain industri pelancongan datang ke negara ini untuk menjalankan perniagaan.

“Kita tak perlu lagi ke Timur Tengah atau Eropah untuk promosikan negara kita, sekarang kita ada (acara berprestij) di dalam negara kita dan mereka akan datang ke sini," ujarnya.

AITEX 2024 juga menyaksikan penubuhan AFUH sebagai sebuah manifestasi perkongsian visi dan komitmen negara-negara rantau ini untuk mempertingkat pengalaman umrah dan haji buat jutaan umat Islam merentas Asia Tenggara.

Dengan sokongan antara negara-negara ASEAN, usahasama ini menjadi tanda kepada era baharu kolaborasi dan inovasi dalam perniagaan dan perdagangan secara amnya, dan kemajuan Islam secara khususnya.

AITEX 2024 menutup tirai dengan malam gala Anugerah Pelancongan dan Perdagangan Islamik Dunia (WITA) 2024, di mana Astro AWANI merangkul anugerah ‘Program Bual Bicara Pelancongan Terbaik.” 

Mewakili jenama berita paling dipercayai Malaysia itu, Editor Hal Ehwal Semasa Nazri Kahar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada AITEX atas pengiktirafan yang diterima, yang menjadi dorongan kepada pihak media untuk memainkan peranan bersama dalam usaha memajukan sektor pelancongan Islam negara.

Editor Hal Ehwal Semasa Nazri Kahar bersama trofi dan sijil yang diterima bagi anugerah 'Rancangan Bual Bicara Pelancongan Terbaik' WITA 2024.

“Kita ingin melihat ia menjadi satu dorongan kepada negara untuk menjadikan pelancongan halal dan Islam sebagai satu produk utama, dan pastinya dengan kerjasama semua pihak, Malaysia boleh menjadi hab global," katanya.

Tahun depan, WITEX akan dianjurkan sekali lagi di Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway, Selangor pada 22 hingga 24 Ogos 2025 dan dijangka menjadi medan pertemuan dan perbincangan para pemain industri yang lebih besar, mencerminkan komiten jitu dan berterusan Malaysia untuk menjadi hab pelancongan Islamik dunia.