AirAsia melakar sejarah menjadi syarikat penerbangan tambang murah pertama di dunia menjalinkan kerjasama dengan Interpol sempena Perhimpunan Agung Interpol Ke-83 yang baru berlangsung di Monaco.

Pesawat A320 AirAsia yang beroperasi di Indonesia dan dicat khas dengan logo AirAsia dan Interpol beserta slogan, ‘Turn Back Crime’ dan hashtag #togetherwecan diterbangkan khas dari Malaysia melalui KLIA2 ke Monaco baru-baru ini dan ia membabitkan penerbangan selama 16 jam.

Ketibaan pesawat Airbus itu di Lapangan Terbang Nice pada Rabu lalu telah disambut oleh Pengarah AirAsia Berhad, Datuk Aziz Bakar dan Ketua Penguatkuasa I-Checkit, Pieter Deelman.

AirAsia
AirAsia melakar sejarah dengan kerjasama yang terjalin dengan badan antarabangsa, Interpol melalui kempen 'Turn Back Crime'. - Sumber Foto AirAsia

Turut hadir adalah Pengarah Eksekutif Kempen 'Turn Back Crime', Roraima Andriani dan Ketua Kumpulan Operasi Air Asia, Steven Dickson.

Hashtag 'Together We Can' yang tertera pada badan pesawat tersebut bertujuan menarik minat orang ramai untuk mengambil gambar bagi turut sama menjayakan kempen polis antarabangsa, Interpol melalui tema perhimpunan tahun ini iaitu ‘Turn Back Crime: 100 years of Intern Cooperation'.

Turn Back Crime
Datuk Zahid Hamidi (tiga dari kiri) bersama-sama dengan Khalid dan Aziz Bakar mengambil peluang untuk bergambar dengan kru AirAsia di Monaco. - Astro AWANI/Amy Chan
Objektif kempen itu adalah untuk mengalakkan penguatkuasaan undang-undang antarabangsa secara dinamik selain meningkatkan kesedaran orang ramai, sektor awam dan swasta dalam menangani jenayah dan keganasan demi mencapai ketenteraman sejagat.

Menurut Aziz, kerjasama yang dijalinkan oleh AirAsia sebagai syarikat penerbangan perintis dan Interpol adalah sesuatu yang membanggakan khususnya dalam usaha membanteras jenayah dan keganasan global.

Bagi menjayakan kempen ini, pesawat AirAsia itu akan diterbangkan ke lebih 23 negara lain selepas perhimpunan tamat.

Turn Back Crime
Pesawat AirAsia A320 ini mengambil masa selama 130 jam untuk dicat. - Astro AWANI/Amy Chan

Perhimpunan Agung Interpol ke-83 itu berlangsung dari 3 hingga 7 November.

Ia turut dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.