Komitmen Kerajaan Persekutuan khusus kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan menterinya Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili dalam menyelesaikan penstrukturan industri air Selangor dihargai kerajaan negeri itu.

Ia sekali gus kejayaan kerajaan negeri untuk menguruskan industri air seperti mana yang dihasratkan oleh Akta Industri dan Perkhidmatan Air (WSIA) 2006.

Berikut adalah kenyataan penuh daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim:

Kerajaan negeri Selangor mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khusus kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan menterinya Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili atas kerjasama dan komitmen mereka dalam menyelesaikan penstrukturan industri air Selangor.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua kakitangan Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mohamed Khusrin Munawi serta Ketua Setiausaha Kementerian Dato’ Loo Took Gee bagi Kementerian, pegawai dari Pejabat Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Pengurusan Air Negara dan semua yang telah bertungkus lumus bagi memastikan Perjanjian Utama (Master Agreement) hari ini dapat ditandatangi dengan sempurna.

Dengan termeterainya Perjanjian Utama di antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Negeri Selangor, Air Selangor Sdn Bhd dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) maka tercapailah hasrat kerajaan negeri untuk menguruskan industri air seperti mana yang dihasratkan oleh Akta Industri dan Perkhidmatan Air (WSIA) 2006.

Perjanjian Jual Beli Saham di antara Air Selangor Sdn Bhd dan Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) iaitu pemegang 70% saham Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan 100% saham Puncak Niaga Sdn Bhd akan ditemeterai dalam tempoh terdekat.

Majlis ini juga adalah kesinambungan bagi persefahaman yang telah dicapai diantara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melalui dua perjanjian yang telah di tandatangani sebelum ini iaitu Memorandum Persefahaman (MoU) pada 26 Februari 2014 dan Perjanjian Mengenai Persefahaman (Heads of Agreement) pada 1 Ogos 2014.

Perjanjian ini juga telah membuka lembaran baharu bagi perkhidmatan industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya apabila syarikat milik penuh rakyat Selangor iaitu Air Selangor Sdn Bhd akan membawa perkhidmatan bekalan air ke tahap yang lebih profesional dan efisien.

Air Selangor Sdn Bhd akan diurus oleh sekumpulan pasukan yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam perkhidmaan air dan saya yakin mereka boleh menjayakan usaha-usaha menjadikan industri air Selangor lebih holistik dengan mengambil alih operasi dan penyelengaraan loji rawatan air serta perkhidmatan pembekalan air yang sebelum ini dilakukan oleh empat syarikat konsesi yang berbeza.

Pengurusan tidak holistik sebelum ini menyumbang kepada pengurusan air tidak cekap dan kos operasi yang membebankan pengguna melalui kenaikan tarif yang tinggi kepada lebih 5 juta pengguna di Selangor, KL dan Putrajaya.

Air Selangor Sdn Bhd akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja menaik taraf saluran paip air dengan tujuan menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) yang pada ketika ini sangat tinggi iaitu 34% serta meningkatkan kapasiti loji-loji tersebut dengan menggunapakai teknologi terkini.

Semua aset air juga akan diletakkan di bawah Air Selangor Sdn Bhd dan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL 2) yang bakal siap dalam beberapa tahun lagi juga akan dikendali oleh syarikat berkenaan.

Perjanjian ini juga telah dimuktamadkan dengan kos pengambialihan penstrukturan semula industri air jauh lebih rendah dari tawaran awal yang dilakukan Kerajaan Negeri iaitu RM7.45 bilion berbanding RM9.65 billion.

Perjanjian ini merupakan satu kejayaan bukan sahaja pada kerajaan negeri tetapi juga rakyat Selangor dan Malaysia yang selama ini menyokong penuh usaha-usaha untuk mengembalikan semula hak air kepada rakyat.

Walaupun menerima banyak cabaran terhadap usaha, keputusan malah niat kita juga dipersoalkan, namun dengan sokongan dari pelbagai pihak khusus di Kerajaan Negeri Selangor dan Persekutuan telah menguatkan iltizam Kerajaan Negeri dalam mencari penyelesaian muktamad.

Sekali lagi saya tekankan kerjasama yang diperlihatkan kesemua pihak menunjukkan bahawa kepentingan rakyat mengatasi kepentingan dan ideologi politik. Kita percaya rakyat Selangor dan Malaysia amat menghargai usaha keras yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam menjayakan usaha ini.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
*Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah Menteri Besar Selangor
*Ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI