Air pasang bukan penyebab berlakunya banjir teruk di Kuantan tahun ini.

Sebaliknya ia terjadi disebabkan pertambahan jumlah penduduk yang membawa kepada pembangunan infrastruktur.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam Universiti Malaysia Pahang (UMP) Mohamad Idris Ali berkata, air hujan tidak mengalir secara semulajadi disebabkan oleh pembangunan.

“Faktor pertama adalah iklim memandangkan daerah Kuantsan menghadap Laut China Selatan dan ini sangat dipengaruhi faktor monsun timur laut. Tetapi curahan hujan yang lebat bukan satu-satunya faktor menyebabkan banjir di Kuantan, terutama di kawasan Bukit Rangin dan Sungai Isap.

“Pertambahan jumlah penduduk di Kuantan semakin meningkat dan ini akan menyebabkan berlakunya pembangunan secara meluas sehingga menyebabkan kawasan yang pada asalnya berfungsi sebagai tempat air berkumpul secara semulajadi ditambak bagi dijadikan tempat kediaman. Jadi inilah sebabnya bertambah jumlah mangsa banjir,” kata Idris.

Tambahnya pergerakan atau proses hidrologi dalam lembangan juga merupakan punca berlakunya banjir di Kuantan selain pembangunan jalan raya baru yang ditambak tinggi daripada paras asal.

Selain itu, pertembungan antara aliran air daripada lembangan menuju ke laut berlaku serentak dengan fenomena air pasang penuh.

“Aras air dari laut tinggi. Jadi air dari kawasan lembangan tidak boleh keluar dengan semulajadi akibat dihalang oleh air pasang. Bukannya air pasang menyebabkan banjir. Yang menyebabkan banjir adalah pergerakan atau proses hidrologi dalam lembangan dimana pergerakan air melalui perubahan disebabkan pembangunan,” tambahnya.