JERTIH: Menjelang hari raya, pelbagai idea menghias kediaman timbul dan tidak dinafikan, orang dulu-dulu lebih kreatif sehinggakan buah kekabu pun boleh dijadikan pelita.

Seorang petani, Mohd Zailani Mohd Nor, 48, dari Kampung Alor Belanga, Hulu Besut di sini berkata pelita kekabu bagaimanapun tidaklah popular sebagaimana pelita buluh, malah ia hampir tenggelam ditelan zaman.

"Saya mula serius menghidupkan semula tradisi menyalakan pelita raya buah kekabu sejak tahun lepas. Ia adalah cara tradisional masyarakat di Besut untuk menerangi kegelapan malam pada zaman dahulu.

"Saya belajar membuat pelita kekabu ini daripada arwah datuk saya sebelum terlintas untuk mempopularkannya kembali memandangkan generasi sekarang ramai yang tidak tahu buah kekabu pun boleh dijadikan pelita selain untuk buat bantal dan tilam," katanya kepada Bernama.

Katanya walaupun pembuatan pelita menggunakan buah kekabu amat mudah, namun tidak ramai yang tahu kaedah membuatnya.

Petani Mohd Zailani Mohd Nor, 48, (kiri) bersama anaknya Azizi, 9, mengumpul buah kekabu untuk membuat pelita sebagai persiapan sempena malam tujuh likur di Kampung Alor Belanga, semalam. - Foto BERNAMA


Mohd Zailani berkata cara membuatnya hanyalah menggunakan buah kekabu muda yang dibelah dua dan setiap biji buah boleh menghasilkan dua pelita.

Katanya lagi, isi kekabu dikeluarkan sedikit untuk diisi minyak tanah atau diesel sebelum diletakkan kapas kekabu yang dijadikan sebagai sumbu.

"Pelita kekabu ini mampu menyala sehingga satu jam sahaja, namun buah yang sama boleh digunakan berulang kali," katanya yang turut menjalankan perniagaan lemang setiap kali Ramadan.

Katanya memasang pelita buah kekabu di sekeliling rumah bukan sahaja tampak unik, malah dapat mence-riakan dan menghidupkan minggu terakhir Ramadan.

Mohd Zailani berkata bagaimanapun cabaran untuk menghasilkan pelita kekabu tetap ada kerana buah itu bermusim, tidak seperti buluh yang boleh diperoleh pada bila-bila masa.

Proses membuat pelita kekabu sebagai persiapan sempena malam tujuh likur yang dilakukan petani Mohd Zailani Mohd Nor, 48, semasa ditemui di rumahnya di Kampung Alor Belanga, semalam. - Foto BERNAMA


Mengulas lanjut, Mohd Zailani berkata bagi menghidupkan kembali pembuatan pelita kekabu, dia ada melakukan demonstrasi membuat pelita itu di Program Pelita Beautiful Terengganu 2022 di Kuala Terengganu tahun lepas.

Malah, dia merancang membawa sebanyak 3,000 buah kekabu pada program sama minggu ini berbanding 2,500 buah kekabu untuk dijadikan pelita dan diagihkan kepada pengunjung pada tahun lalu.

"Ada juga yang menghubungi saya mahu membeli pelita tersebut tetapi setakat ini saya belum jual lagi tapi tengok lah macam mana selepas ini," katanya.

Selain pelita buah kekabu, pada program sama kali ini, Mohd Zailani akan mempromosi satu lagi produk pelita tradisi iaitu pelita buah kelapa.

Generasi muda, Nur Ain Balqis Lokman, 16, (kanan) bersama penduduk kampung tidak melepaskan peluang untuk merasai pengalaman serta melihat dengan lebih dekat pelita kekabu sempena malam tujuh likur di Kampung Alor Belanga, malam tadi. - Foto BERNAMA

Katanya, tempurung kelapa dibuang isi kemudian ditebuk beberapa lubang sebelum dimasukkan minyak masak terpakai dan dinyalakan api pada sedikit isi kelapa yang direndam di dalam minyak tersebut.

Menurutnya pelita kelapa mampu menyala lebih lama daripada pelita kekabu iaitu sehingga tiga jam.

-- BERNAMA