SHAH ALAM: Bidang kecerdasan buatan (AI) di Malaysia perlu diterapkan dengan nilai keilmuan turath (ilmu warisan) Islam dan tidak berpandukan acuan barat sepenuhnya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa bidang kecerdasan buatan (AI) di Malaysia perlu diterapkan dengan nilai keilmuan turath (ilmu warisan) Islam.
  • Perkembangan teknologi AI harus seiring dengan adab dan akhlak, serta mengambil inspirasi dari khazanah ilmu dan legasi Islam.
  • Meskipun AI dianggap neutral, nilai turath harus dimasukkan agar AI yang berasal dari negara Islam tidak terpisah dari sistem dan nilai-nilai akhlak Islam.


Perdana Menteri berkata kemahiran dan pembangunan kemajuan AI dalam negara, perlu diisi dengan khazanah ilmu serta legasi Islam untuk dijadikan korpus (himpunan bahan kajian), agar perkembangan teknologi itu seiring dengan adab dan akhlak.

Anwar berkata ilmu yang terkandung di dalam teknologi AI ketika ini berdasarkan bahan daripada barat, kerana teknologi itu dibangunkan oleh mereka.

"Kebimbangan saya di Malaysia dalam mengembangkan AI dan digital ialah kerana nilai dipupuk (dalam AI) itu adalah nilai dan pemikiran barat.

"Walaupun AI itu dianggap sebagai seolah-olah neutral kerana seluruh korpus ilmu boleh dimasukkan dan bila ada soalan, jawapannya itu nampak lengkap.

"Sebab itu, nilai turath ini mesti dimasukkan supaya AI yang 'dimuntah' dan diluahkan dari negara Islam itu tidak terpisah dari sistem dan nilai akhlak Islam," katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Penghayatan Riyadhu As-Salihin sempena Festival Turath Islami Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Dalam pada itu, Anwar turut berterima kasih kepada kerajaan negeri Selangor kerana menganjurkan festival warisan Islam yang boleh dibanggakan untuk terus menghidupkan karya agung Islam, sekali gus menyuburkan budaya cintakan Ilmu dalam negara.

"Apa yang diusahakan di Selangor ini menarik dan ia mengekalkan satu tradisi (menuntut) ilmu cara lama seperti pondok dan syeikh (pengajar) datang membaca kitab dan mengupas kandungannya.

"Dunia media sosial kini ilmunya dalam satu ke tiga minit. Padahal dalam Islam, tradisi menuntut ilmu itu mesti membaca, menelaah dan menghayati," katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata Selangor komited untuk mengarusperdanakan turath melalui pembentukan Akademi Turath di bawah kendalian Masjid Negeri - Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Beliau berkata pihaknya juga telah menyusun silibus dan rancangan pengajian secara talaqqi, iaitu pembelajaran secara bersemuka dengan para guru atau ilmuan agama di masjid-masjid dan untuk permulaan, ia akan dilaksanakan di sembilan daerah di Selangor.

"Kita sedar dalam kemodenan serta keterbatasan waktu, lebih-lebih lagi ketika berdepan krisis politik, kegawatan ekonomi, sosial dan globalisasi, ramai antara kita yang hampir lemas tercari-cari dahan untuk berpaut sehinga ada yang terjerumus ke kancah ekstremisme, kefanatikan dan perkauman.

Maka sememangnya sudah sampai ketikanya untuk kita mengemukakan sesuatu yang lebih baik daripada dahan yang rapuh dan dalam konteks ini kita mengemukakan turath, sebagai teras dan pasak bagi umat," katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan terjemahan Kitab Ihya' Ulumuddin (5 Jilid) dan Kitab Hadis 40 ke dalam Bahasa Melayu, yang disarankan untuk diajar di surau dan masjid sebagai antara usaha mendidik serta memberi kefahaman kepada generasi muda tentang khazanah turath.

Festival Turath Islami Selangor kali kedua dari 26 Mei hingga esok, bertujuan menghidupkan kembali turath dalam kehidupan harian umat Islam di Nusantara.

Festival itu menampilkan tokoh ulama terkemuka dunia, iaitu bekas Mufti Agung Mesir Profesor Dr Ali Jum'ah yang mengangkat kitab Riyadhu as-Salihin dan Hadis Empat Puluh karangan Al-Imam Yahya Sharaf al-Nawawi untuk dipelajari dan dihayati.

-- BERNAMA