BANGI: Pemimpin belia dalam kalangan Orang Asli akan dilantik sebagai senator pada masa akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, beliau bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan Presiden Majlis Belia Orang Asli Malaysia (MBOAM), Clive Allen Williams Hunt, pada Karnival Belia Orang Asli Rentas Desa Sejahtera (K-BOARDS 2.0) semalam, untuk melantik senator yang mewakili Orang Asli daripada golongan belia.

"Insya-Allah, yang akan datang kita lantik (Senator) dalam kalangan pemimpin belia Orang Asli," katanya ketika merasmikan K-BOARDS 2.0 itu di sini.

Ahmad Zahid turut mengumumkan kelulusan dana RM200,000 daripada peruntukan timbalan perdana menteri bagi pembangunan MBOAM, manakala Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) pula akan menyumbangkan RM200,000 dalam bentuk peralatan bagi pertubuhan itu.

Ahmad Zahid berkata, 800 belia Orang Asli disasarkan untuk mengikuti program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tahun ini, berbanding lebih 700 belia tahun lepas.

"Saya harapkan kemajuan dalam kalangan belia Orang Asli bukan hanya dari segi meningkatkan ekonomi dan keusahawanan, tapi mereka harus diberi peluang sama rata dan mengikuti lebih banyak kursus profesional serta masuk ke universiti dalam negara dan luar negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak ditandingi perlu dihormati.

"Keputusan perhimpunan agung hendaklah dihormati, walaupun kita hormati pendapat peribadi," katanya.

Majoriti perwakilan UMNO yang hadir PAU2022 menyatakan sokongan terhadap usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini, dan UMNO kini dalam proses mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengenai usul tambahan tersebut.

-- BERNAMA