Ahli politik disaran agar membiasakan diri dengan media sosial untuk berhubung dengan rakyat.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata media sosial mempunyai kelebihan dalam bidang politik untuk meraih sokongan rakyat dan menambah jumlah pengundi mereka.

"Ahli politik yang tidak terlibat dengan media sosial akan mengalami kesukaran untuk mendekati rakyat.

"Penglibatan mereka dengan pengguna internet yang juga bakal pengundi misalnya, akan membawa kesan positif kepada ahli politik," katanya kepada peserta Sidang Kemuncak Blogger dan Media Sosial Sedunia di sini pada Khamis.

Persidangan itu berlangsung selama lima hari mulai Selasa sempena Minggu Media Sosial Malaysia 2015.

Beliau berkata rakyat mengharapkan ahli politik berkomunikasi dengan mereka menerusi pelbagai cara seperti datang ke pejabat ahli politik, menerusi telefon, SMS atau media sosial seperti Facebook," katanya bercakap menerusi pengalamannya menjadi calon Barisan Nasional pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen Hulu Selangor pada 2010.

Sementara itu Pengerusi Biro Media Sosial Pemuda Umno, Ibdillah Ishak berkata ahli politik perlu responsif, menangani isu dengan segera dan spontan, telus dan bersikap semula jadi setiap masa.

"Ahli politik tidak boleh memilih isu. Mereka perlu menangani isu dan menghadapi kritikan. Media sosial berupaya membantu ahli politik mengubah kepada kebaikan," katanya.