Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menasihati ahli politik terutama daripada pihak kerajaan tidak menerima jawatan presiden bagi mana-mana persatuan sukan.

Katanya lantikan politik dalam satu persatuan sukan sebenarnya memberikan implikasi besar kepada industri sukan tersebut.

Ini katanya berlaku situasi di mana apabila ahli politik menjadi pengerusi bagi persatuan sukan akan menyalah guna kepentingan mereka untuk meminta peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Saya minta tolong, tolak tawaran tersebut. Kita nak pastikan landskap sukan ini digerakkan pencinta sukan.

“Bukan mereka yang datang daripada ahli politik. Kalau mereka tetap buat (terima jawatan), tolong jangan datang ke kementerian minta peruntukan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, beliau membangkitkan isu tersebut di dalam Dewan Rakyat semasa sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Dr Hasan Baharom (PH-Tampin) meminta pandangan menteri itu berhubung lantikan politik dalam persatuan sukan.

Kata Hasan, situasi tersebut telah menjadi salah satu punca kejatuhan industri sukan negara.

Sebelum ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Mengulas mengenai itu, Syed Saddiq berkata pendiriannya jelas berhubung lantikan politik dalam jawatan persatuan sukan.