SEREMBAN: Seorang ahli perniagaan kerugian hampir RM200,000 selepas terperdaya dengan sindiket pembelian motosikal dengan nombor pendaftaran pilihan melalui laman sosial Facebook baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • Seorang ahli perniagaan telah ditipu sindiket pembelian motosikal melalui Facebook.
  • Mangsa telah membuat tujuh pembayaran dengan jumlah keseluruhan RM179,376 untuk pembelian tujuh unit motosikal berjenama Honda namun tidak menerima motosikal yang dijanjikan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata lelaki berusia 49 tahun itu mendakwa berurusan dengan seorang individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp untuk tujuan tersebut.

"Mangsa membuat tujuh pembayaran kepada individu tersebut sejak 24 hingga 28 Mei lepas dengan jumlah keseluruhan RM179,376 untuk pembelian tujuh unit motosikal berjenama Honda.

"Dia kemudian menyedari ditipu selepas tidak menerima motosikal yang dijanjikan sebelum membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya kepada pihak yang menawarkan penjualan barangan secara dalam talian dengan harga rendah dan segera membuat semakan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

-- BERNAMA