Ahli-ahli PAS sedia menghadapi pertandingan lima penjuru untuk jawatan Timbalan Presiden parti dan ada dikalangan mereka dikatakan sedang giat menjalankan kempen supaya tidak ada yang menarik diri dan menerima pencalonan yang dibuat PAS Kawasan.

Kempen ini dibuat supaya calon-calon tersebut menghormati pencalonan daripada PAS Kawasan yang mana ia merupakan suara dari akar umbi PAS.

Seorang pemimpin PAS Kawasan yang menghubungi Astro AWANI menjelaskan kempen itu juga dibuat supaya calon yang mendapat pencalonan tertinggi tidak menarik diri kerana mengikut telunjuk kumpulan tertentu.

"Ia juga dibuat untuk membolehkan perwakilan mempunyai banyak pilihan untuk menentukan pemimpin yang dirasakan layak untuk mengisi jawatan tersebut.

"Selain itu ia juga untuk memastikan supaya tidak ada kumpulan yang merasa tersisih jika tewas dalam pertandingan satu lawan satu.

"Contohnya jika Abang Mat (Mohamad Sabu) lawan Mohd Amar yang dikatakan ulama itu, Abang Mat menang, jadi kumpulan pro-ulama akan merasa tersisih.

"Begitu juga sebaliknya, jika ulama menang, kumpulan satu lagi merasakan mereka tiada tempat dalam parti kerana semua jawatan ulama pegang,"kata pemimpin PAS kawasan itu kepada Astro AWANI.

Katanya, terdapat usaha yang dijalankan oleh kumpulan tertentu yang mahukan calon paling popular supaya menarik diri kerana mahu memberi ruang kepada calon pilihan mereka.

Lima calon diumumkan layak untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden iaitu, Tuan Ibrahim Tuan Man, Husam Musa, Salahuddin Ayub, Mohamad Sabu dan Mohd Amar Nik Abdullah.

Selepas tamat mesyuarat kawasan dan pencalonan diterima oleh PAS Pusat, difahamkan Ketua Penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mendapat pencalonan paling tinggi untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, diikuti Naib Presidennya, Husam Musa.

Namun sehingga kini, Tuan Ibrahim belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden atau jawatan Naib Presiden yang mana beliau turut mendapat pencalonan.

Pada pemilihan PAS yang lepas, Tuan Ibrahim tewas dalam pertandingan tiga penjuru melibatkan Nasharuddin Mat Isa dan Mohamad Sabu.

Sementara Husam dalam satu forum baru-baru ini menegaskan tidak ada sebab untuk beliau mencabar Mohamad Sabu bagi jawatan Timbalan Presiden PAS.

"Apa alasan yang terbaik untuk saya melawan Abang Mat (Mohamad Sabu)? Kamu ada alasan untuk saya melawan Abang Mat.

"Kalau tidak ada alasan yang baik, kenapa (saya) mahu melawan beliau?" katanya.

Sementara Salahuddin pula dikatakan telah membayangkan untuk mempertahnakan jawatan Naib Presiden yang disandangnya sejak 2009.

Setakat ini hanya Mohamad yang telah mengesahkan untuk mempertahankan jawatan yang dimenanginya pada pemilihan tahun 2011.

Mohamad berkata beliau mempunyai visi untuk dilaksanakan jika dipilih memegang jawatan tersebut bagi penggal kedua.

Katanya, jika penggal pertama beliau memberi tumpuan kepada pengukuhan demokrasi, bagi penggal kedua beliau akan memberi fokus kepada integriti politik.

Pemilihan pimpinan PAS penggal 2013-2015 akan dilakukan ketika Muktamar Tahunan ke-59 pada 22 November depan.