Parlimen

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen terkejut dengan hasil kajian sebuah badan bukan kerajaan yang mendapati hanya lima daripada 114 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak dan Selangor yang memberi respons yang baik ketika dihubungi melalui e-mel dan jaringan media sosial Facebook dan Twitter.

Kajian itu dilakukan oleh KUASA sebuah NGO yang memberi fokus kepada pengembangan pengurusan untuk ahli politik dan aktivis melalui proses komunikasi menggunakan media sosial dan maklumat strategik.

Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub pula berkata cara terbaik untuk menghubungi seseorang wakil rakyat adalah melalui telefon atau SMS.

"Saya akui kadang-kadang saya tidak memeriksa e-mel peribadi saya. Tetapi saya memberi respon pantas sekiranya dihubungi melalui telefon bimbit. Walau bagaimanapun, e-mel pusat khidmat masyarakat saya diperiksa setiap hari," katanya.

Ahmad Jazlan menambah sekiranya beliau sibuk dengan tugasnya, beliau mempunyai empat pekerja termasuk dua pembantu peribadi yang akan memeriksa e-mel pusat khidmatnya.

Beliau turut berkata akan berjumpa dengan rakyat di kawasannya setiap minggu untuk mendengar masalah mereka.

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran berkata beliau terkejut dengan penemuan NGO itu kerana menolong rakyat sebanyak mungkin adalah tugas dan tanggungjawab semua wakil rakyat.

"Ambil saya sebagai contoh. Saya berhubung dengan rakyat di kawasan saya melalui e-mel, Facebook, Twitter dan SMS.

"Malah, saya ada kumpulan WhatsApp yang namanya 'Better Ipoh' yang boleh disertai oleh mana-mana penduduk Ipoh untuk mengadu masalah mereka," kata beliau.

Kulasegaran menambah beliau juga ada dua orang pembantu peribadi yang menolongnya untuk menyelesaikan masalah rakyat, selain sebuah pusat khidmat masyarakat yang boleh dikunjungi oleh rakyat setempat.

"Oleh kerana saya seorang peguam, kebanyakan masalah yang diajukan kepada saya adalah tentang undang-undang.

"Namun, ada juga masalah lain yang diajukan kepada saya. Saya akan membantu mereka seboleh yang mungkin," katanya.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke pula berkata wakil rakyat seharusnya menjawab semua e-mel dan panggilan telefon daripada rakyat.

"Saya sendiri akan menjawab emel yang dihantar kepada saya dan sekiranya saya sibuk, pembantu peribadi saya akan menjawab e-mel atau pertanyaan lain.