Cadangan yang dikemukakan menerusi Dialog Perpaduan: Suara Akar Umbi agar diwujudkan satu bangsa tidak mendapat sambutan positif dalam kalangan ahli parlimen.

Mereka berpendapat mewujudkan satu bangsa bukan jawapan terhadap usaha mencapai perpaduan kaum yang dicita-citakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Mereka juga berpendapat sebarang usaha untuk mencari jalan ke arah perpaduan mesti dilakukan berpandukan kepada perlembagaan dan Rukun Negara.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berpendapat, perpaduan kaum boleh dicapai dengan cara memahami antara satu sama lain.

Shamsul Anuar berkata identiti bangsa itu penting bagi sesuatu kaum dan perpaduan di kalangan rakyat sebenarnya boleh dibina biarpun berbeza agama dan budaya.

"Apapun saya secara peribadi tidak bersetuju jika identiti sesuatu bangsa dihilangkan kerana membina perpaduan. Identiti bangsa ini penting kepada sesuatu kaum, sebab itu pada saya perpaduan di kalangan rakyat sebenarnya boleh dibina walaupun kita berbeza agama, budaya dan berbeza dari segi cara hidup dan sebagainya.

"Ia boleh dibina dengan cara kita memahami antara satu sama lain. Saya yakin Ia boleh dilakukan kerana selama ini perpaduan di kalangan rakyat sangat kuat dan ia dilakukan tanpa kita hilangkan identiti sesuatu bangsa.

"Paling penting kepada saya ialah kita membina semangat dan nilai hormat menghormati antara satu sama lain. Ini yang pentingnya kerana yang penting ialah kita mesti jadikan kepelbagaikan kita sesuatu yang istimewa dan keistimewaan ini mesti kita jadikan kekuatan.

"Saya fikir membina perpaduan tidak mampu dipupuk kalau sekadar kita syaratkan setiap borang yang hendak diisi jangan tulis apa bangsa kita, ini bukan jalan penyelesaiannya. Bagi saya yang paling penting ia melalui pendidikan di mana kita mesti mendidik rakyat supaya menghormati antara satu sama lain dan berpegang kepada apa yang telah kita sepakati ketika kita membina negara ini," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO bagaimanapun bersetuju dengan cadangan supaya satu bahasa diwujudkan untuk memastikan perpaduan kaum dapat dicapai.

Katanya, satu bahasa bukan bermaksud menghalang penggunaan bahasa ibunda sebaliknya ia boleh mengeratkan lagi antara satu sama lain.

Pendapat yang sama dikongsi ahli parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang berpendapat jika mewujudkan hanya satu bangsa ia boleh menghapuskan identiti orang Melayu.

Hujah beliau, orang Melayu di Malaysia mempunyai identiti yang unik dan tidak dimiliki oleh Melayu di negara lain.

"Melayu ada di Selatan Thai, ada di Indonesia malah ada hingga ke Afrika Selatan tetapi apakah mereka ini sama dengan Melayu di Malaysia? Jawapannya tentulah tidak.

"Melayu di Malaysia identitinya unik, kalau identiti mereka hilang, di mana lagi kita nak cari Melayu itu? Berbeza dengan kaum Cina kerana di negara China masih ada orang Cina, begitu juga India, mereka tidak akan risau isu kehilangan identiti.

"Tetapi jika kita tanya orang Cina di Malaysia atau orang India di Malaysia, mereka akan kata mereka juga berbeza dengan orang Cina di China atau orang India di negara India, jadi mereka juga akan bimbang akan hilang identiti kaum mereka di negara ini jika hanya mewujudkan satu bangsa," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Sementara, ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berpendapat satu bangsa bukan jawapan kepada perpaduan kaum yang diinginkan.

Sebaliknya beliau menjelaskan, apa yang perlu dilakukan oleh semua rakyat Malaysia ialah membuang sikap perkauman yang boleh menimbulkan kebencian.

Mahfuz berkata, di Indonesia biarpun hanya diwujudkan bangsa Indonesia tetapi pergaduhan tetap berlaku dan ia memberi jawapan bahawa satu bangsa bukan penyelesaian untuk perpaduan.

"Identiti sesuatu bangsa atau kaum itu tidak boleh kita hilangkan, malah ia sememangnya diciptakan oleh Allah, kita tidak boleh melawannya.

"Apa yang penting kita perlu menghormati antara satu kaum dan kaum yang lain, jangan ada kebencian, jangan ada prejudis, itu yang penting," katanya kepada Astro AWANI.

Mahfuz juga berpendapat, cadangan yang dilontarkan peserta Dialog Perpaduan: Sura Akar Umbi itu berpunca dari rasa muak terhadap isu perkauman yang diwujudkan sesetangah pihak.

Justeru beliau menasihat pihak yang berkenaan melihat perkara tersebut dan menghentikan politik perkauman yang sempit.

Cadangan supaya diwujudkan satu bangsa dan satu bahasa dilontarkan salah seorang peserta yang menyertai Dialog Perpaduan: Suara Akar Umbi anjuran Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) dan Institut Kajian Etnik Malaysia (KITA).