Kerajaan menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan kehakiman untuk mengambil tindakan terhadap Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang didakwa tidak mematuhi kuarantin wajib selepas pulang dari Turki.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, tidak ada mana-mana individu yang ingkar ketetapan undang-undang boleh terlepas daripada dikenakan tindakan.

"Tiada mana-mana pihak atau individu di negara ini yang boleh mengatasi undang-undang. Undang-undang dibuat untuk menyelamatkan nyawa manusia di negara ini.

"Sedangkan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri sendiri melalui fasa kuarantin di rumah," katanya pada sidang Parlimen di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Setiawangsa) mengenai kerelevanan kompaun maksimum RM1,000 yang dikenakan terhadap Mohd Khairuddin yang melanggar kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara.
BACA:
Datuk Dr. Mohd Khairuddin mohon maaf

BACA: Datuk Dr. Mohd Khairuddin dikompaun RM1,000



Mengulas lanjut, Noor Azmi menjelaskan, kompaun maksimum mengikut Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang ditetapkan adalah RM1,000 untuk mereka yang ingkar perintah peraturan dan Home Surveillance Order.

Menurut beliau, sekiranya seseorang itu dikenakan tindakan di bawah Seksyen 24 dengan dihadapkan ke mahkamah, pihak berkuasa termasuk polis dan institusi kehakiman boleh membuat keputusan yang selayaknya.

Sebelum ini, netizen mempersoalkan menegnai kadar hukuman tersebut terlalu rendah dibandingkan hukuman ke atas pihak lain.

Rata-rata menyatakan kekecewaan kerana hukuman tersebut tidak menunjukkan keadilan dan tanggungjawab kerajaan, serta tidak menjadi teladan kepada rakyat.

Sebelum ini, seorang wanita warga emas yang melanggar perintah sama dipenjara sehari dan didenda RM8,000 pada 14 Ogos lalu kerana ingkar perintah pengawasan dan pemerhatian ketika tempoh kuarantin wajib.

Malah, kadar denda rendah itu menimbulkan kritikan pelbagai pihak termasuk dari kalangan pemimpin parti Perikatan Nasional yang mahu Khairuddin meletak jawatan.

Sekiranya dikenakan denda sekurang-kurangnya RM2,000 atau penjara lebih daripada setahun, Ahli Parlimen Nerus itu berisiko hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen.

Khairuddin baru-baru ini mengumumkan akan memulangkan gajinya sebagai menteri, bermula Mei hingga bulan ini, untuk disumbangkan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19).
BACA: Kompaun terhadap Khairuddin beri mesej wujud 'antara dua darjat' - Syed Saddiq