Istiadat sambutan yang dinaungi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkonsepkan perbarisan statik melibatkan empat detasemen terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), ATM, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM).
Acara dimulakan dengan persembahan lagu Negaraku, diiringi 21 das tembakan meriam yang disempurnakan Mej Hafizan Mat Ghani daripada 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat).
Sultan Ibrahim kemudian memeriksa kawalan kehormatan utama.
Perbarisan Hari Pahlawan hari ini melibatkan 17 pegawai dan 683 anggota lain-lain pangkat daripada PDRM dan ATM yang diketuai oleh Lt Kol Abang Raduan Abang Madihi daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Istiadat kemudian diteruskan dengan tiupan Paluan Akhir yang dikenali sebagai last post dengan menurunkan Jalur Gemilang dan semua tetamu yang hadir berdiri memberikan tabik hormat semasa Jalur Gemilang diturunkan.
Pengisian istiadat diteruskan dengan persembahan pantomim khas bertajuk "Op Subuh" oleh PDRM dan ATM berkisarkan tragedi berdarah yang berlaku pada 6 Julai 2000.
Ia merupakan hasil karya gandingan Panglima Briged Kedua Infranti Malaysia Brig Jen Datuk Asri Shukor dan Pegawai Staf II Latih Markas 4 Divisyen Mej Fitri Vinoth Ridzuan Sugumaran, yang dipersembahkan oleh 85 pegawai dan anggota ATM dan PDRM.
Op Subuh menceritakan tentang insiden pertempuran antara pasukan keselamatan negara dengan sekumpulan individu yang menggelarkan diri mereka Al-Maunah di Bukit Jenalik, Sauk di Perak, yang merancang untuk menggulingkan kerajaan pada Julai 2000.
Perasaan sedih dan pilu terserlah pada wajah Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah serta beberapa tetamu kehormat ketika menyaksikan persembahan pantomim yang turut disulami dengan dendangan lagu Seniman Agung tanah air, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bertajuk Di Mana Kan Ku Cari Ganti dan lagu penuh emosi Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu nyanyian penyanyi legenda, Uji Rashid.
Persembahan turut meruntun jiwa apabila deklamasi sajak bertajuk "Jenalik Berdarah" disampaikan oleh Sarjan Siti Nur Aini Jasni dan Inspektor Muhammad Faizul Mustafa sejurus replika keranda dua perwira negara yang terkorban dalam tragedi berdarah itu dibawa masuk.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut berkenan mencemar duli menyantuni ahli keluarga mangsa yang terkorban selepas persembahan pantomim tamat.
Sambutan Hari Pahlawan yang diraikan bermula 31 Julai 1960 itu merupakan manifestasi penghormatan kepada pegawai dan anggota ATM dan PDRM dalam mengenang jasa perwira tanah air yang gugur ketika mempertahankan kedaulatan negara. - BERNAMA