Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah berkenan menziarahi bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak di unit rawatan rapi Hospital Pulau Pinang.

Baginda yang diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Farizan Darus dan Exco Kesihatan Negeri Dr Afif Bahardin sempat meluangkan masa kira-kira 10 minit.

Ia kunjungan kali kedua Baginda sejak Azizan dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Keadaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau itu di laporkan beransur pulih namun beliau tidak dibenarkan keluar dalam tempoh yang terdekat.

Pada awal Mei, Azizan menjalani pembedahan memotong kedua belah kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 Pesuruhjaya Pas Kedah itu mempertahankan kerusi Dun Sungai Limau.

Bagaimanapun beliau terpaksa melepaskan jawatan menteri besar berikutan kekalahan Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional (BN).