ALOR GAJAH: Pengagihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 kepada ketua isi rumah di negeri-negeri yang terjejas banjir dijangka selesai sepenuhnya hujung minggu ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengagihan wang bantuan itu kini sudah mencapai 70 peratus dan beliau berpuas hati dengan pelaksanaan pengagihan tersebut.

Ini kerana jelasnya, pengagihan itu perlu dilakukan segera kerana semua mangsa terjejas dengan bencana berkenaan memerlukan sokongan kewangan untuk menghadapi pasca banjir.

“Saya berpuas hati dengan pengagihan BWI yang mana setakat ini sudah lebih 70 peratus mangsa terjejas menerima bantuan itu.

“Pelbagai insentif telah kerajaan umumkan kepada semua mangsa, tetapi tidak cukup dengan pengumuman sahaja… yang penting adalah pelaksanaannya dan dijangka sehingga akhir minggu ini akan selesai 100 peratus,” katanya.


Banjir | PM ulangi arahan segera agih Bantuan Wang Ihsan - PM

[LAPOR LANGSUNG] Tiga air pasang besar diramal berlaku sehingga Februari

Beliau berkata demikian selepas meninjau dan mengagihkan sumbangan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gangsa, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut ujarnya selain bantuan kewangan, kerajaan juga memberi fokus untuk memperbaiki kerosakan infrastruktur, bangunan dan kediaman.

“Fokus kita kini adalah banjir (terutamanya) untuk menyelesaikan isu pascabanjir kerana banyak lagi belum selesai.

“Dari segi kerosakan infrastruktur, kerosakan rumah, barangan-barangan mereka juga banyak yang kita (kerajaan) perlu bantu,” tambahnya.