Kerajaan cukup yakin penggunaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mampu mengurangkan risiko kemalangan ekoran meningkatnya jumlah kenderaan di jalan raya di negara ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata teknologi tersebut yang diguna pakai di 90 buah negara termasuk Singapura dan Thailand, telah menunjukkan keberkesanan dan menampakkan kesan positif.

"Risiko akan bertambah apabila bilangan kenderaan meningkat. Jadi kita perlu mekanisme ini untuk menangani masalah kemalangan kerana untuk meletakkan tanggungjawab kepada polis semata-mata adalah sukar," katanya.

Katanya dengan pertambahan sejuta kenderaan setiap tahun, sistem itu sesuai untuk membentuk sikap berhemah dan berdisiplin di kalangan pengguna jalan raya.

"Pada tahun lepas jumlah kemalangan dicatat sebanyak 450,000 yang mana melibatkan kematian seramai 6,871 orang atau 19 kematian sehari," jelasnya.